KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia menyaksikan dagangan bercampur-campur pada pagi Khamis ketika sentimen berhati-hati walaupun Wall Street meningkat dalam dagangan semalaman, kata peniaga.
Pada 9.06 pagi ini, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.04 mata kepada 1,413.80 daripada paras 1,415.84, semalam.
Sewaktu dibuka, indeks itu turun 2.40 mata pada 1,413.44.
Di pasaran meluas sebaliknya menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 155 berbanding 138 manakala 254 kaunter tidak berubah, 1,741 tidak diniagakan dan 15 digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 173.19 juta unit bernilai RM71.21 juta.
Dalam nota penyelidikannya, Malacca Securities Sdn Bhd berkata prestasi Wall Street yang lebih positif semalaman dijangka mengundang minat belian ke atas bursa, terutama sektor teknologi manakala sektor tenaga akan berada di bawah tekanan berikutan kejatuhan harga minyak mentah Brent.
Pada masa sama, katanya, pelabur masih dalam kedudukan bertahan menjelang pengumuman Belanjawan 2024 minggu depan dan lebih menumpukan pemangkin domestik dalam masa terdekat susulan pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Pelan Induk Perindustrian Baharu.
“Berikutan itu, aktiviti dagangan juga boleh membabitkan dalam sektor pembinaan, bahan binaan serta hartanah,” katanya. – BERNAMA