
Oleh: Afrina Romzi
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Derivatives mencatat rekod tertinggi 22.75 juta kontrak didagangkan merentasi semua produk, meningkat 19 peratus tahun lalu berbanding 19.11 juta kontrak pada tahun 2022.
Pengerusi Bursa Malaysia Bhd, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata ia disokong permintaan berterusan terhadap Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO).
“Tahun lalu, jumlah dagangan FCPO meningkat sebanyak 17 peratus daripada 16.21 juta pada tahun 2023 kepada 18.95 juta kontrak pada tahun 2024.
“Pada Oktober lalu, kami mencapai satu pencapaian baharu apabila purata harian bulanan kontrak melepasi 100,000 buat kali pertama, mencecah 106,385 kontrak,” katanya ketika berucap pada Persidangan dan Pameran Tinjauan Harga Sawit dan Laurik (POC2025) hari ini.
Memandangkan harga minyak sawit mentah (MSM) tidak menentu disebabkan pelbagai faktor, kontrak FCPO Bursa Malaysia kekal sebagai alat penting untuk menguruskan ketidaktentuan pasaran.
“Bursa Malaysia Derivatives turut mengembangkan penawarannya tahun lalu, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab dagangan minyak boleh dimakan,” katanya.
Dua kontrak baharu diperkenalkan iaitu Niaga Hadapan Minyak Kacang Soya Bursa Malaysia DCE (FSOY) dan Niaga Hadapan Minyak Masak Terpakai USD FOB Straits (Platts) (FUCO).
Kontrak FSOY, yang diperkenalkan pada Mac tahun lalu mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan pelabur.
Kepentingan terbuka mencecah 274 pada Ogos dan jumlah dagangan mencapai 79,559 kontrak akhir Disember 2024.
Sementara itu, kontrak FUCO yang dilancarkan pada Disember 2024 bertepatan dengan peningkatan permintaan global terhadap minyak masak terpakai, didorong oleh mandat biodiesel yang semakin berkembang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.