
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM56.2 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023, merosot 17.4 peratus berbanding RM68 juta pada suku sama 2022.
Penurunan keuntungan bersih itu terutamanya berikutan kemerosotan 13.4 peratus dalam pendapatan operasi pasaran sekuriti kepada RM100 juta dalam suku dikaji berbanding RM115.6 juta pada suku sama 2022.
Sementara itu, jumlah perbelanjaan operasi meningkat 10.6 peratus kepada RM80.2 juta berbanding RM72.5 juta pada suku pertama 2022, berikutan perbelanjaan pemasaran dan pembangunan tinggi, kos teknologi dan perbelanjaan susut nilai.
Pada suku itu, pendapatan operasi yang lebih rendah dalam pasaran sekuriti terutamanya disebabkan oleh penurunan dalam pendapatan dagangan, dengan purata nilai dagangan harian (ADV) untuk dagangan dalam pasaran (OMT) dan dagangan perniagaan langsung (DBT) mencatatkan RM2.3 bilion berbanding RM2.7 bilion pada suku pertama 2022.
Halaju dagangan menurun sebanyak lima mata peratusan kepada 31 peratus berbanding 36 peratus pada suku pertama 2022.
Perkhidmatan penyenaraian dan penerbit menurun sebanyak 11.4 peratus kepada RM15.0 juta berbanding RM16.9 juta pada suku pertama 2022, manakala perkhidmatan depositori merosot sebanyak 8.7 peratus kepada RM13.1 juta berbanding RM14.4 juta pada suku pertama 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift, berkata suku pertama 2023 terbukti menjadi tempoh yang mencabar bagi pasaran modal disebabkan oleh pelbagai faktor makroekonomi.
Beliau berkata, ADV pasaran sekuriti kembali ke paras pra-pandemik berbanding suku pertama 2022.
“Walau bagaimanapun, pada asas suku ke suku tahunan, kami melihat satu peningkatan dengan keuntungan selepas cukai dan zakat adalah 14.6 peratus lebih tinggi berbanding suku keempat berakhir 31 Disember 2022, iaitu RM49.0 juta,” katanya dalam satu kenyataan.