KUALA LUMPUR: FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat semula untuk ditutup tinggi pada Jumaat, sekali gus mengakhiri penurunan selama tiga hari berturut-turut dan menyongsong aliran serantau, memandangkan peserta pasaran menyambut baik data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 yang lebih baik berbanding jangkaan, kata peniaga.
Pada 5 petang, FBM KLCI yang menjadi penanda aras pasaran menokok 9.95 mata atau 0.68 peratus kepada 1,474.59 daripada 1,464.64 ketika ditutup pada Jumaat.
Indeks utama itu dibuka 0.41 mata lebih positif kepada 1,465.05 sebelum bergerak di antara 1,463.31 dengan 1,476.03 sepanjang sesi dagangan.
Walau bagaimanapun, lingkungan pasaran adalah negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 540 berbanding 403, manakala 403 kaunter tidak berubah, 828 kaunter tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 4.08 bilion unit bernilai RM2.5 bilion daripada 3.57 bilion unit bernilai RM2.19 bilion pada Khamis.— BERNAMA