KUALA LUMPUR: Bursa Carbon Exchange (BCX), iaitu anak syarikat Bursa Malaysia Bhd berjaya melaksanakan lelongan kredit karbon sulung negara.
Acara lelongan yang diadakan semalam dan dijalankan secara elektronik itu menyaksikan penyertaan menggalakkan dengan 15 pembeli daripada pelbagai industri membeli sejumlah 150,000 kredit berdaftar standard karbon (Verra) yang disahkan. Verra ialah standard yang diiktiraf dalam pasaran karbon sukarela.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift berkata kejayaan melaksanakan lelongan sulung itu telah meningkatkan tahap kesedaran pasaran karbon sukarela dan peluang mengimbangi karbon di negara ini.
“Kita kini mempunyai mekanisme pasaran yang terbukti dalam menyediakan penemuan harga itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata dengan mewujudkan harga berasaskan pasaran untuk kredit karbon, lelongan itu memberi isyarat jelas kepada penyokong projek dan pemaju yang berpotensi mengenai ekonomi kredit karbon yang berdaya maju.
“Ini akan memberi insentif kepada pemilik projek tempatan untuk membangunkan projek kredit karbon yang boleh memberi impak sebenar dalam memerangi perubahan iklim,” tambahnya.
BCX, bursa karbon patuh Syariah pertama di dunia, membolehkan perdagangan kontrak standard dengan kredit karbon asas daripada projek dan penyelesaian mesra iklim, yang boleh digunakan oleh korporat untuk mengimbangi jejak pelepasan dan memenuhi matlamat iklim.
“Dengan pencapaian penting ini, lelongan tersebut memudahkan penemuan harga kredit karbon daripada dua produk baharu yang ditawarkan oleh BCX, iaitu kontrak Karbon Berasaskan Teknologi Global (GTC) dan kontrak Karbon Plus Berasaskan Alam Semula Jadi Global (GNC+),” tambah Muhamad Umar.
Kontrak GTC menampilkan kredit karbon daripada projek Pemulihan Biogas dan Penjanaan Kuasa Linshu di China.
Projek itu menawarkan faedah sejajar dengan matlamat pembangunan mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menjana tenaga bersih (SDG 7), penyediaan kerja yang memuaskan (SDG 8) dan menangani perubahan iklim dengan mengurangkan kebocoran pelepasan metana ke atmosfera (SDG 13).
Kontrak GTC telah terlebih langgan dan berharga RM18.50 setiap kontrak.
Kontrak GNC+ pula menampilkan kredit karbon daripada Projek Southern Cardamom, iaitu merupakan pengurangan pelepasan daripada penebangan hutan dan projek degradasi hutan dari Kemboja yang disertakan dengan piawaian iklim, komuniti dan biodiversiti serta menyediakan faedah tambahan bersama, menyumbang kepada kehidupan masyarakat tempatan dan pemuliharaan biodiversiti di kawasan panas biodiversiti Indo-Burma.
Kontrak GNC+ ini berada pada harga lelongan RM68.0 bagi setiap kontrak.
Kedua-dua projek telah dipilih dengan teliti dan disusun untuk merangsang minat tempatan dalam pembangunan projek yang sama bagi mengimbangi karbon.
Terdapat minat yang kukuh dan isyarat harga yang sihat oleh sektor korporat domestik, terutamanya syarikat berkaitan kerajaan dan institusi kewangan, bagi menunjukkan kepimpinan mereka dalam ruang pasaran karbon sukarela yang semakin berkembang di Malaysia. -BERNAMA