Oleh: Afrina Romzi
SEPANG: Brahim’s Holdings Bhd (BHB) mempertimbangkan beberapa langkah susulan penamatan kontrak katering penerbangannya, Brahim’s Food Services Sdn Bhd (BFS) dengan Malaysia Airlines Bhd (MAB) pada 31 Ogos lalu, selepas bekerjasama selama 26 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BHB, Mohd Fadhli Abdul Rahman, berkata syarikat bersifat terbuka untuk meneruskan kerjasama bersama syarikat induk Malaysia Aviation Group (MAG) tetapi mahu berunding klausa kemudahan penamatan dengan syarat pemberian pampasan yang adil.
Klausa kemudahan penamatan ini membenarkan kedua-dua pihak untuk menamatkan kontrak tanpa sebab tertentu, dengan memberikan notis 30 hari.
“Klausa baharu yang disebut dalam kontrak adalah sama seperti tidak mempunyai kontrak. Mengapakah kami perlu menerima klausa itu jika akhirnya kami menanggung kos yang lebih tinggi? Saya menjalankan perniagaan yang adil. Jika syaratnya adil, maka kami sedia menerimanya.
“Tanpa mereka (MAB), kami masih meneruskan perkhidmatan dengan 35 syarikat penerbangan dan percaya akan ada lagi syarikat tampil untuk bekerjasama,” katanya kepada media pada sidang media dan lawatan kemudahan BFS hari ini.
Dilaporkan, MAB berdepan pelbagai isu termasuk penumpang yang tidak dapat makanan atau hanya diberikan air mineral serta kelewatan penerbangan selepas, menamatkan kontrak BFS.
Pada masa sama, BHB sedang mempertimbang untuk menjual semua kepentingannya dalam BFS sebanyak 70 peratus kepada pemain industri tempatan termasuk MAB, yang memegang baki 30 peratus saham dalam syarikat itu,
Pengerusi Eksekutif Kumpulan BHB, Datuk Seri Ibrahim Ahmad mendedahkan ada beberapa syarikat tempatan dan asing berminat untuk membeli saham dalam BFS.
“Kami belum memuktamadkan kepada mana-mana syarikat untuk menjual (saham itu). Kami ada berbincang dengan MAG dan syarikat tempatan lain. Kami masih dalam perbincangan. Kami berharap (keputusan) dapat dimuktamadkan secepat mungkin,” katanya.
The New Straits Times sebelum ini melaporkan Deloitte Malaysia telah menilai keseluruhan kepentingan BFS antara RM162.8 juta dan RM184 juta.