comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Boustead Heavy Industries dapat kontrak sokongan kapal selam TLDM

KUALA LUMPUR : Boustead Heavy Industries Bhd (BHIC) memperoleh dua kontrak kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) daripada Kementerian Pertahanan secara keseluruhan bernilai kira-kira RM140 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, BHIC berkata anak syarikat milik penuhnya, BHIC Submarine Engineering Services Sdn Bhd (BSES), pada 17 Mei lalu telah menerima Surat Anugerah bertarikh 5 Mei 2023 daripada Kementerian Pertahanan, yang mewakili kerajaan.

Kementerian Pertahanan, katanya menganugerahkan kontrak Sokongan Perkhidmatan Interim (ISS) bagi Kapal Selam Kelas Perdana Menteri TLDM bernilai RM99.8 juta.

Ia berkata, kontrak itu adalah untuk tempoh 11 bulan bermula 15 Mac 2023 sehingga 14 Februari 2024.

“Kontrak rasmi antara kerajaan dan BSES akan dimuktamad dan dilaksana pada satu tarikh kemudian,” katanya.

Dalam satu lagi kenyataan berasingan, BHIC berkata BSES telah menerima Surat Anugerah bertarikh 5 Mei 2023 daripada Kementerian Pertahanan, yang mewakili kerajaan, untuk lanjutan kontrak menyelenggara kemudahan kapal selam bagi TLDM bernilai RM40.26 juta.

Kontrak berkenaan, katanya adalah untuk tempoh 12 bulan bermula 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2023.BHIC berkata, kontrak berkenaan akan menyumbang secara positif kepada perolehan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

“Kecuali Tan Sri Aziah Ali dan Dr Salihin Abang yang masing-masing adalah Pengarah BHIC dan BSES, tiada mana-mana pengarah atau pemegang saham utama syarikat, atau individu yang berkaitan dengan mereka, memiliki sebarang kepentingan, sama ada langsung atau tidak langsung dalam kontrak ini,” katanya.

BHIC merekodkan kerugian bersih RM21.55 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, berbanding keuntungan bersih RM15.19 juta setahun sebelumnya.

Pendapatannya dalam tempoh itu merosot kepada RM141.76 juta daripada RM149.19 juta tahun sebelumnya dengan perolehan tahun yang dikaji itu diraih terutamanya daripada kontrak-kontrak kapal selam dan projek-projek penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) berkaitan pertahanan.

Loading...
Terkini