Tumpuan :
Detik Niaga

Boustead akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 28 Jun

Boustead Holdings Bhd (Boustead)

KUALA LUMPUR: Boustead Holdings Bhd (Boustead) akan dikeluarkan daripada senarai rasmi Bursa Malaysia Securities Bhd, berkuatkuasa jam 9 pagi pada 28 Jun 2023.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata langkah penyahsenaraian berkenaan selaras dengan ketetapan Perenggan 16.07(a) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.

Pada Mac lalu, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah membuat tawaran pengambilalihan secara sukarela bagi 40.58 peratus kepentingan atau 822.51 juta saham dalam Boustead serta merancang untuk menjadikannya sebagai syarikat persendirian.

LTAT yang pada masa ini menguasai 59.4 peratus kepentingan dalam Boustead, dijangka membayar sejumlah RM703.2 juta atau 85.5 sen sesaham bagi langkah berkenaan.

Usaha pengambilalihan itu selesai pada Jun dengan pegangan saham LTAT dalam Boustead berjumlah kira-kira 97.63 peratus, sekali gus membolehkan penyahsenaraian syarikat serta pembatalan peruntukan pengambilalihan wajib bagi baki saham. – BERNAMA

Loading...
Terkini