comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bosch raih jualan RM727 juta pada 2022, yakin prospek kekal positif 

Bosch Group 

KUALA LUMPUR: Jualan terkumpul Bosch Group di Malaysia melonjak  25 peratus tahun ke tahun kepada RM727 juta bagi tahun kewangan 2022.

Pengarah Urusan Bosch Malaysia, Klaus Landhaeusser berkata syarikat pembekal teknologi dan perkhidmatan global itu mempunyai kira-kira 4,200 sekutu manakala pelaburannya mencecah hampir RM400 juta di negara ini setakat 31 Disember 2022.

“Meskipun dalam persekitaran tahun yang mencabar, Bosch berjaya mencapai pertumbuhan sihat dalam pasaran Malaysia dan meraih beberapa pencapaian utama iaitu hasil daripada kegigihan sekutu kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi 2023, Klaus berkata Bosch Malaysia akan terus melabur dalam pasaran tempatan walaupun dalam senario geopolitik dan ekonomi di serata dunia.

Malah, katanya, syarikat itu melihat cabaran terbabit sebagai peluang untuk terus meningkat sebagai satu jenama yang mampu mengharungi tempoh sukar.

“Sejajar dengan pelaburan berterusan kami dalam kakitangan serta jenama, kami (yakin) akan terus melangkah dan meraih kejayaan di negara ini.

“Dalam menghadapi persiapan bagi pembukaan kilang semikonduktor baharu syarikat di Pulau Pinang pada Ogos dan meraikan ulang tahun ke-100 di Malaysia, kami juga berharap untuk terus melakar impak lebih bermakna,” katanya.

Di peringkat global, jumlah jualan Bosch Group meningkat 12.0 peratus kepada €88.2 bilion pada 2022 selepas meraih €78.7 bilion pada tahun sebelumnya (€1=RM4.88). – BERNAMA

Loading...
Terkini