BATU KAWAN: Bosch, pembekal global terkemuka bagi teknologi dan perkhidmatan merancang melabur kira-kira 350 juta euro (RM1.62 bilion) secara berperingkat menjelang pertengahan 2030 bagi mengukuhkan aspek pengeluaran semikonduktor di Malaysia.
Pelaburan itu membabitkan kemudahan pengeluaran sokongan semikonduktor termaju di Asia untuk pengujian akhir cip dan sensor automotif.
Ahli Lembaga Sektor Mobiliti Bosch, Klaus Maeder, berkata pembukaan tapak pengeluaran di Pulau Pinang membolehkan syarikat terus memperkukuh perniagaan semikonduktor dan jejak pembuatannya secara sistematik untuk memenuhi permintaan cip global.
“Semikonduktor adalah kunci kejayaan semua bidang perniagaan Bosch.
Tapak pengeluaran sokongan di Pulau Pinang menjadi komponen penting dalam strategi pertumbuhan dalam sektor mobiliti kerana kami bertindak balas terhadap peningkatan permintaan untuk semikonduktor.
“Kami memilih untuk melabur di Pulau Pinang kerana tahap pengetahuan semikonduktornya yang tinggi dan tenaga kerja mahirnya. Kedudukannya yang berdekatan dengan rakan kongsi perniagaan dan pelanggan adalah satu lagi kelebihan, kerana ia akan memendekkan masa dan jarak penghantaran untuk cip,” katanya.
Perasmian tapak pengeluaran sokongan semikonduktor berteknologi tinggi itu disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Buat masa ini, tapak berkenaan meliputi kira-kira 18,000 meter persegi dan termasuk bilik bersih, ruang pejabat, dan makmal untuk jaminan kualiti dan pembuatan.
Dengan keluasan tanah 100,000 meter persegi, kemudahan di Pulau Pinang itu adalah yang pertama seumpamanya bagi Bosch di rantau Asia Tenggara.