KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengumumkan butiran lanjut mengenai langkah interim bagi mengatasi kenaikan kadar premium insurans pada minggu hadapan, menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, dalam hal itu pembabitan semua pihak berlandaskan prinsip pendekatan keseluruhan negara amat penting.
“Ini temasuk tanggungjawab Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Kewangan (MOF), BNM serta kerjasama pihak berkepentingan seperti penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO), hospital swasta, pakar perubatan, farmaseutikal dan persatuan pengguna.
“Sepertimana yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) Selasa lalu, beberapa langkah interim dan segera sedang diperhalusi oleh BNM,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat dasar bagi kementerian itu di Dewan Negara, semalam.
Amir Hamzah berkata, antara langkah itu adalah memastikan peningkatan premium insurans dilaksanakan secara teratur dan berperingkat dan bantuan-bantuan lain untuk golongan tertentu.
BNM juga akan terus meneliti langkah yang boleh menambah baik reka bentuk produk insurans dan takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) dengan kadar premium lebih mampan dan boleh menggalakkan penggunaan secara berhemat.
BNM juga menghendaki ITO untuk memperluas pilihan kepada pengguna yang terjejas, termasuk pelan pembayaran premium lebih fleksibel dan pelan perlindungan berbeza pada kadar premium lebih mampan,” katanya.
Amir Hamzah berkata, pada masa sama, MOF menyambut baik usaha KKM yang turut melaksanakan beberapa langkah selain meneliti solusi jangka panjang dalam mendepani inflasi kos perubatan di Malaysia.
“Bagi memastikan kemampanan sektor kesihatan negara ke arah penjagaan kesihatan berasaskan nilai, semua pihak dalam ekosistem kesihatan, termasuk hospital swasta dan farmaseutikal berganding bahu menangani punca utama inflasi kos perubatan.
“MOF, KKM dan BNM sentiasa peka dan akan membuat libat urus berterusan dengan pihak berkaitan termasuk sesi libat urus dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan yang berlangsung baru-baru ini,” katanya. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.