comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

BNM perhalusi rangka kerja DITO, bakal muktamad tahun depan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan memperhalus beberapa aspek Rangka Kerja Pelesenan dan Pengawalseliaan untuk Penanggung Insurans dan Pengendali Takaful Digital (Rangka Kerja DITO) yang diterbitkan pada November 2022, selepas meneliti maklum balas yang diterima.

Langkah itu termasuk penambahbaikan untuk memperjelas model perniagaan baharu muncul dan inovatif seperti insurans sertaan dan insurans sebagai perkhidmatan.

Dalam kenyataannya hari ini, BNM berkata ia merancang untuk memuktamadkan rangka kerja tersebut menjelang separuh pertama 2024.

“Usaha memperkemas itu bertujuan menggalakkan penyertaan lebih meluas daripada peserta dalam rantaian nilai insurans dan takaful yang boleh mancapai hasil dasar dihasratkan dalam Rangka Kerja DITO,” katanya mengulas perkembangan terkini berkaitan hasil maklum balas Draf Dedahan rangka kerja tersebut.

Draf Dedahan tersebut menggariskan cadangan rangka kerja untuk memudahkan penyertaan DITO di Malaysia yang boleh menawarkan cadangan nilai yang kukuh bagi mencapai hasil dasar dari segi rangkuman, persaingan dan kecekapan.

Bank pusat itu telah menerima maklum balas daripada lebih 50 pihak berkepentingan sepanjang tempoh yang berakhir pada 28 April, 2023.

Pada bulan-bulan berikutnya, BNM telah meneruskan perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan secara meluas untuk mempertimbang maklum balas tersebut, terutama mengenai model alternatif perniagaan dan operasi serta pendekatan kepada fasa asas.– BERNAMA

Loading...
Terkini