comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

BNM buat keputusan kekalkan OPR pada tiga peratus

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada mesyuarat hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tiga peratus.

Bank pusat dalam satu kenyataan berkata, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.1 peratus pada separuh pertama tahun 2024.

Ia berkata, penunjuk terkini mencatatkan kegiatan ekonomi yang terus kukuh, didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan aktiviti eksport yang lebih giat.

Pada masa hadapan, katanya eksport dijangka terus disokong oleh peningkatan kitaran teknologi global berikutan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor serta eksport barangan bukan elektrik dan elektronik (E&E) yang terus kukuh.

“Perbelanjaan pelancong dijangka terus meningkat. Pertumbuhan guna tenaga dan upah berserta langkah-langkah dasar masih terus menyokong perbelanjaan isi rumah.

“Pengembangan mantap aktiviti pelaburan akan berterusan disebabkan oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional serta lebih banyak pelaksanaan pelaburan yang telah diluluskan'” katanya.

Sementara itu, ia berkata inflasi keseluruhan dan inflasi teras berpurata pada 1.8 peratus pada separuh pertama tahun 2024.

“Bagi seluruh tahun 2024, purata inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka kekal dalam julat yang diunjurkan sebelum ini dan berkemungkinan tidak melebihi tiga peratus,”katanya.

Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan adalah konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan.

MPC terus memantau perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian trajektori inflasi dan trajektori pertumbuhan dalam negeri menuju tahun 2025.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini