KUALA LUMPUR: Bank-bank pusat Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama membabitkan rangkaian pembayaran serantau (RPC).
Dalam kenyataan bersama hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM), Bangko Sentral Ng Pilipinas (BSP), Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) dan Bank of Thailand (BOT) berkata kerjasama yang dimeterai secara berasingan ketika Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan G20 di Bali, Indonesia, hari ini, adalah bagi menyokong pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, murah, telus dan inklusif.
RPC dijangka menjadi penyumbang penting dalam mempercepat pemulihan ekonomi serantau serta menggalakkan pertumbuhan yang inklusif.
“Pelaksanaan rangkaian pembayaran rentas sempadan ini dilihat dapat menyokong dan meningkatkan aktiviti perdagangan, pelaburan, pengukuhan kewangan, pengiriman wang, pelancongan dan kegiatan ekonomi lain yang rentas sempadan. Ini akan memberi manfaat khususnya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana kerana RPC akan memudahkan penyertaan mereka ke pasaran antarabangsa,” kata kenyataan bersama itu.
Pada masa hadapan, inisiatif rangkaian pembayaran ini boleh diperluas untuk turut merangkumi negara-negara lain di rantau ini serta berpotensi melibatkan negara dari rantau lain.
Sementara itu, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus menyifatkan inisiatif tersebut menegaskan lagi kepentingan kerjasama bank pusat dalam menyokong usaha pembangunan rangkaian pembayaran generasi baharu.
“Usaha untuk merealisasikan visi rangkaian pembayaran rentas sempadan ASEAN yang pantas dan cekap akan memacu cita-cita pendigitalan serta memperkukuh integrasi kewangan demi manfaat pembangunan ekonomi rantau ini,” katanya.
Kerjasama penting ini juga menandakan titik permulaan bagi Indonesia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2023 serta menyokong aspirasi bersama ASEAN untuk mewujudkan rangkaian sistem pembayaran serantau yang akan membolehkan pembayaran rentas sempadan secara pantas, lancar dan lebih berpatutan. – BERNAMA