![](https://media.buletintv3.my/2023/10/IdrVqmNu-BULETIN-TV3-55.jpg)
KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dua tahun lalu untuk membatalkan projek Selangor Turf Club (STC) yang dicadangkan oleh Berjaya Land Bhd (BLand) pada 2004.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, BLand menyatakan mahkamah tmembenarkan rayuannya terhadap kerajaan negeri Selangor dan Pengarah Jabatan Perancang Negara (JPBD) Selangor dengan kos RM80,000 dan mengembalikan semula perintah yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi pada 2017.
Pada 2004, anak syarikat milik penuh BLand, Berjaya Tagar Sdn Bhd memeterai perjanjian dengan STC untuk pengambilalihan tiga bidang tanah pajakan seluas 99.15 hektar di Sungai Besi dengan harga RM640 juta.
Daripada jumlah itu, RM35 juta telah dibayar secara tunai dan RM605 juta untuk dipenuhi dengan pemindahan kepada STC tanah seluas 750 ekar di Bukit Tagar dengan sebuah kelab yang baru dibina.
“Berjaya Tagar telah mencadangkan untuk mengambil alih tanah Bukit Tagar daripada Berjaya City Sdn Bhd, anak syarikat Berjaya Corp Bhd dan melantik Berjaya City sebagai kontraktor ‘turnkey’ kelab turf baharu itu.
“Bagaimanapun, Berjaya tidak menerima kelulusan yang diperlukan berikutan perubahan dalam kerajaan Selangor selepas pilihan raya umum 2008,” katanya.
Pada 2017, BLand, Berjaya Tagar dan Berjaya City memenangi permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi terhadap kerajaan negeri Selangor dan JPBD, membuka laluan kepada pemindahan STC ke Bukit Tagar.
Bagaimanapun, pada November 2021, kerajaan Selangor berjaya merayu dalam Mahkamah Rayuan untuk membatalkan pembinaan STC baharu.