KUALA LUMPUR: Harga Bitcoin yang semakin menghampiri AS$100,000 telah mencetuskan keterujaan dalam kalangan pelabur.
Namun, Persatuan Platform Aset Digital Malaysia (MDAPA) mengingatkan orang ramai agar berwaspada terhadap peningkatan aktiviti penipuan (scam) yang cuba mengambil kesempatan di atas keghairahan ini.
Persatuan dalam satu kenyataan berkata, lonjakan harga Bitcoin dan mata wang kripto lain (altcoin) telah menarik minat ramai individu untuk menceburi dunia aset digital.
Malangnya, keadaan ini turut membuka peluang kepada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menjalankan skim penipuan bagi mengaut keuntungan dengan memperdaya pelabur yang naif.
Menurut MDAPA, golongan warga emas yang aktif di media sosial dan kurang celik teknologi digital adalah sasaran utama scammer.
“Mereka mudah terpedaya dengan janji-janji manis pulangan lumayan yang ditawarkan, terutamanya skim-skim yang mendakwa dapat meningkatkan simpanan persaraan dengan cepat.
“Taktik terbaru yang dikesan melibatkan penyamaran sebagai ejen atau proksi bagi pihak bursa aset digital yang sah.
“Scammer akan menawarkan khidmat untuk menguruskan pelaburan mangsa, dengan alasan untuk memudahkan proses bagi pelabur baharu,” kata kenyataan itu.
Katanya lagi, ingin ditegaskan bahawa bursa aset digital yang diiktiraf tidak akan sekali-kali menjanjikan pulangan pelaburan, mempamerkan gaya hidup mewah untuk menarik pelabur, atau menggunakan pihak ketiga untuk urusan jual beli aset digital.
Setakat ini, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hanya mengiktiraf enam bursa aset digital dan dua platform tawaran awal bursa (IEO).
Senarai lengkap boleh didapati di laman web rasmi SC: Pemain Aset Digital Dikawal Selia. Bursa-bursa yang diiktiraf termasuklah HATA Digital, Luno Malaysia, MX Global, SINEGY DAX, Tokenize Technology, dan Torum International.
MDAPA menggesa orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan menjalankan transaksi hanya melalui platform rasmi bursa yang diiktiraf.
“Elakkan daripada menyerahkan wang atau maklumat peribadi kepada individu yang tidak dikenali, terutamanya yang menawarkan skim pelaburan yang meragukan.
“Setiap pelabur perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap setiap transaksi yang dilakukan. Gunakan aplikasi atau laman web rasmi bursa yang diiktiraf untuk sebarang urusan jual beli aset digital,” tambah MDAPA.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.