Tumpuan :
Detik Niaga

Beli, jual & tebus emas dengan selamat menerusi Bursa Gold Dinar

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (dua dari kanan) melancarkan Bursa Malaysia sebagai bursa aset pelbagai dan logo baharu Bursa Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini. – Foto: NSTP

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Tidak perlu lagi melabur dalam skim pelaburan emas yang mencurigakan di media sosial.

Pelabur kini boleh menggunakan platform pelaburan emas patuh syariah yang selamat dengan kadar kompetitif yang diasaskan sendiri Bursa Malaysia.

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata Bursa Gold Dinar (BGD) direka bagi menggalakkan pelabur membeli, menjual, berdagang dan menebus emas dengan cara yang selamat dan terjamin pada kos transaksi yang rendah.

“Cabaran bagi ramai pelabur ialah kos transaksi yang sebenarnya sangat tinggi. Jika anda membeli emas melalui platform biasa, anda perlu membayar sekitar 9%. Jika anda ingin membeli emas melalui akaun pelaburan dengan bank, anda perlu membayar sekitar 3% hingga 4%.

“Jadi maksudnya walaupun dalam situasi emas akan meningkat sebanyak 8%, jika anda membeli di platform biasa, ia masih boleh merugikan anda,” kata beliau kepada media sejurus pelancaran Bursa Malaysia sebagai bursa pelbagai aset dan logo baharu Bursa Malaysia, hari ini.

Tambah beliau, BGD ialah platform dagangan emas ini memberikan pelabur kemudahan digital untuk melabur dalam emas fizikal melalui aplikasi mudah alih.

Ia tersedia untuk rakyat Malaysia yang menetap di Malaysia yang memenuhi kriteria kelayakan.

BGD menawarkan waktu dagangan yang dilanjutkan hingga 11:50 malam, tujuh hari seminggu, dengan tahap permulaan pelaburan sebanyak RM10.

Pelabur juga akan mempunyai pilihan untuk memindahkan emas kepada sesiapa sahaja dan menebus setiap 4.25 gram emas yang dimiliki ke dalam syiling fizikal yang direka khas yang dihantar kepada mereka.

“Selain itu, sekiranya terdapat keperluan untuk membuat pembiayaan emas, tidak perlu ke Ar-Rahnu, anda boleh melakukannya di platfom kami untuk menyediakan pembiayaan dengan cara kos efektif,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Bursa Malaysia turut memperkenalkan portal pelanggan MyBURSA dan platform baharu bagi menghubungkan pelabur secara langsung dengan peniaga dikenali BURSA REACH.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift, berkata MyBURSA ialah portal tertumpu pelanggan yang direka untuk memenuhi keperluan pelanggan dan menawarkan pengalaman yang diperibadikan.

Manakala BURSA REACH ialah platform pemprofilan pertama di Malaysia khusus untuk menampilkan dan menghubungkan wakil peniaga (DR) dengan pelabur. Melalui platform, DR boleh mempamerkan kepakaran dengan berkongsi portfolio mereka.

Majlis tersebut dilancarkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan turut dihadiri Pengerusi Suruhanjaya Sekuruti Malaysia (SC), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin.

Loading...
Terkini