KUALA LUMPUR: Pembelian barangan buatan tempatan terutama barangan mentah dan separuh siap daripada bekalan tempatan antara langkah sementara yang mampu menyokong permintaan terhadap ringgit.
Selain itu, melancong dalam negara dan pengeksport menukar hasil dalam mata wang asing kepada ringgit juga akan menyokong permintaan mata wang negara itu.
Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur Business School Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kemasukan pelancong asing ke malaysia akan merangsang aktiviti ekonomi.
Ia berupaya meningkatkan sumbangan sektor pelancongan kepada keluaran dalam negara (KDNK).
Syarikat malaysia yang mengeksport juga disaran menukar perolehan mereka daripada mata wang asing kepada ringgit sekurang-kurangnya 70 peratus hingga 80 peratus pegangan semasa.
“Instrumen kewangan oleh bank seperti ‘Letter of Credit’, ‘Bankers Acceptance’ untuk urusan import dan eksport, iaitu kewangan perdagangan dikelolakan dalam mata wang tempatan,” katanya kepada BH.
Syarikat yang terlibat dengan import dan eksport juga boleh membuat ‘hedging’ atau langkah melindung nilai bagi menstabilkan penukaran mata wang asing ke ringgit.