Tumpuan :
Detik Niaga

Belanjawan 2024 sokong pengguna terus berbelanja

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2024 akan menyokong perbelanjaan pengguna apabila mengekalkan tradisi memperuntukkan dana bagi merangsang pengguna terus berbelanja.

Penganalisis MIDF Research, Genevieve Ng Pei Fen, berkata dana itu antara lain adalah program bantuan tunai menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR), insentif tunai kepada penjawat awam dan pesara selain semakan gaji kakitangan awam dijangka selesai menjelang akhir 2024 yang berpotensi menaikkan pendapatan isi rumah golongan berkenaan.

Beliau berkata, rangsangan perbelanjaan pengguna juga akan diperoleh daripada pengenalan visa berbilang kemasukan dari India dan China bagi meningkatkan pergerakan pelancong di Malaysia serta pelaksanaan pelbagai program yang disasarkan dapat meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat.

“Dalam pada itu, cadangan cukai barangan mewah antara lima hingga 10 peratus ke atas barangan bernilai tinggi dijangka tidak memberikan impak besar terhadap perdagangan runcit, memandangkan ia hanya membabitkan produk-produk bernilai tinggi.

Menerusi Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu , peruntukan STR ditambah sebanyak RM2 bilion atau 25 peratus kepada RM10 bilion bagi memanfaatkan sembilan juta penerima atau kira-kira 60 peratus daripada penduduk dewasa di negara ini.

Kadar maksimum STR juga meningkat daripada RM3,100 kepada RM3,700.

Kerajaan juga bersetuju untuk memberi Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM1,000 kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam membabitkan polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.

Bayaran itu adalah sementara menunggu semula skim gaji dan elaun tetap penjawat awam yang kali terakhir dilaksanakan pada tahun 2012, siap menjelang akhir tahun depan.

Sementara itu, Pei Fen berkata MIDF Research menjangkakan tiada impak langsung daripada rasionalisasi harga diesel yang akan diperkenalkan secara berfasa pada 2024.

“Kami difahamkan bahawa diesel kebanyakannya digunakan bagi perniagaan, komersial dan tujuan perindustrian seperti logistik, pembinaan dan pengangkutan awam. Justeru, kami menjangkakan tiada impak langsung ke atas perbelanjaan pengguna disebabkan oleh rasionalisasi ini.

“Selain itu, kami juga tidak menjangkakan kenaikan kos pengangkutan bagi syarikat-syarikat pengguna di bawah liputan kami memandangkan pengecualian diberikan kepada syarikat logistik di bawah rasionalisasi ini.

“Wajar diingatkan bahawa tambang pengangkutan ditentukan oleh harga diesel, kos input dan margin tambahan.

Loading...
Terkini