Tumpuan :
Detik Niaga

Belanjawan 2024 mungkin beri perincian cukai baharu

Foto hiasan/ NSTP

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan Jumaat depan dijangka memberi tumpuan kepada aspek percukaian lebih meluas.

Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) dalam satu nota penyelidikan berkata, belanjawan tahunan yang akan dibentangkan 13 Oktober ini mungkin memberi perincian lebih banyak membabitkan Cukai Keuntungan Modal (CGT) yang diumumkan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12).

“CGT yang dikenakan ke atas pelupusan saham tidak tersenarai yang dicadangkan dalam Belanjawan 2023 lalu akan gambaran mengenai beberapa persoalan termasuk keperluan pemfailan, pelaksanaan, nilai ambang atau minimum, pengecualian dan penstrukturannya sama ada sama dengan Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT),” katanya.

Maybank IB berkata, cadangan Cukai Barangan Mewah yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan semula pada Februari lalu juga mungkin diperkenalkan dalam belanjawan baharu.

Katanya, perkara yang perlu diberikan perhatian ‘apa’ dan ‘bagaimana’ cukai itu dikenakan termasuk takrifan serta jenis barangan mewah.

“Perlu diberikan perhatian juga adalah ambang atau nilai untuk pengenaan cukai, status cukai barang mewah di zon bebas cukai dan sama ada pelancong asing boleh menuntut bayaran balik untuk cukai yang dibayar,” katanya.

Bank pelaburan itu menjelaskan, Belanjawan 2024 juga mengesahkan bahawa Malaysia akan menerima pakai Cukai Minimum Global, salah satu kaedah baharu yang dilaksanakan di seluruh dunia kepada syarikat multinasional (MNC), selain pengenalan Cukai Tambah Nilai Minimum Domestik Berkelayakan (QDMTT).

“Kami juga akan memantau mengenai levi keuntungan ‘durian runtuh’ sektor perladangan yang kini dalam semakan, sementara menunggu keputusan tahun depan.

“Pada masa ini, levi dikenakan pada kadar 3.0 peratus ke atas harga minyak sawit mentah (MSM) melebihi RM3,000 satu tan tan di Semenanjung Malaysia dan melebihi RM3,500 satu tan di Sabah & Sarawak,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini