KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan geran khas di bawah Belanjawan 2024 bagi memudahkan penggunaan 5G dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menterinya Fahmi Fadzil berkata cadangan itu telah diserahkan kepada Kementerian Kewangan.
“5G akan memberi banyak kelebihan kepada PMKS. Saya harap kita akan mendapat geran khas untuk meningkatkan penggunaan 5G dalam kalangan PMKS,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Ericsson Imagine Live Malaysia 2023, di sini, hari ini.
Beliau berkata Malaysia berada di landasan untuk mencapai 80 peratus liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk menjelang akhir 2023 daripada 68.8 peratus pada masa ini, sebelum beralih kepada model rangkaian dwi.
Namun begitu, katanya, kadar penggunaan 5G kekal rendah pada 4.2 peratus, oleh itu, lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk merealisasikan potensi 5G sepenuhnya.
“(Jadi) melalui geran ini kita mahu menghantar isyarat kepada industri bahawa kerajaan faham cabaran yang dihadapi PMKS untuk menggunakan teknologi 5G,” katanya.
Fahmi berkata PMKS berdepan cabaran untuk mendapatkan peralatan 5G baharu dan ramai yang tidak menyedari manfaat masa depan pelaburan mereka dalam teknologi itu.
“Oleh itu saya telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan syarikat telekomunikasi untuk lakukan program outreach (capaian) kepada pelanggan terutama perusahaan supaya mereka faham inilah apa yang boleh dilakukan, iaitu kita perlu melabur dan mendapat keuntungan daripada menggunakan 5G,” katanya.
Sementara itu Fahmi berkata, KKD merancang untuk mengadakan libat urus dengan pemain telekomunikasi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pantai Timur berkenaan isu perbezaan caj di menara 5G.
“Sebagai contoh, di sesetengah tempat, kita gunakan tiang monopole dan pasang kabel gentian sepanjang jalan, bukan ditanam dalam paip dan sebagainya, tapi ada PBT yang lihat itu satu keperluan.
“Jadi kita akan adakan perbincangan di mana KKD akan tolong lakukan facilitation (pemudahan) dan engagement (libat urus) melalui jawatankuasa sedia ada untuk pastikan jurang digital dapat dikurangkan.
“Kita harap melalui pihak seperti Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) kita dapat selaraskan beberapa perkara supaya lebih mudah untuk kita laksanakan rangkaian 5G atau fiber di seluruh negara,” katanya.
Ditanya mengenai kesan pengurangan kadar borong mengikut Standard Mandatori Mengenai Penetapan Harga Akses (MSAP) di Telekom Malaysia Bhd (TM), beliau berkata dengan harga yang lebih rendah lebih ramai pelanggan akan dapat melanggan perkhidmatan mereka.
“Semasa pelaksanaan terkini pada 2018, pada mulanya terdapat persoalan tetapi apabila kita melihat prestasi TM selama ini, walaupun berdepan COVID-19, tahun pertama adalah satu cabaran dan selepas beberapa ketika, dengan inovasi dan kecekapan produk, mereka kembali meraih keuntungan selepas beberapa tahun.
“Jadi, ia tidak mustahil. Kita mahu membantu lebih ramai rakyat Malaysia memiliki Internet yang bukan sahaja lebih baik, lebih pantas, lebih stabil tetapi juga lebih murah,” kata Fahmi. – BERNAMA
| ARTIKEL BERKAITAN
- Jemaah Menteri laksana sesi libat urus Belanjawan 2024 pertengahan bulan ini
- MOT cadang dana pembangunan maritim diteruskan dalam Belanjawan 2024
- Belanjawan 2024: Sabah dijangka terima peruntukan besar untuk pembangunan
- MOF lanjut tempoh cadangan Belanjawan 2024 sehingga 22 September
- MOF teliti maklum balas, cadangan berkaitan Belanjawan 2024
- 8,000 pihak berkepentingan, 10,000 maklum balas bakal bentuk Belanjawan 2024
- Belanjawan 2024 mampu jadi asas kebangkitan ekonomi negara