comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bekas Ketua Dasar Awam TikTok Malaysia dilantik jadi CEO baharu MDEC

KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melantik bekas Ketua Dasar Awam TikTok Malaysia, Anuar Fariz Fadzil sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu.

Pelantikan beliau diumumkan oleh Pengerusi MDEC, Syed Ibrahim Syed Noh di acara Biz Day Festival Kandungan Digital Malaysia (MYDCF) 2024 di sini, hari ini.

Sementara itu, Anuar Fariz berkata ekonomi digital merupakan salah satu peluang paling menarik di Malaysia.

“MDEC ialah agensi utama untuk menerajui ekonomi digital dan saya bangga kerana kerajaan telah memberikan saya peluang untuk menggalas tanggungjawab itu,” katanya.

Dalam hal ini, Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata Anuar Fariz mempunyai banyak kerja selepas ini apabila dilantik sebagai CEO baharu MDEC.

“Kami semua mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dalam tugasnya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MDEC yang baharu,” kata menteri itu selepas melancarkan Biz Day MYDCF 2024.

Anuar Fariz pernah dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Datuk Seri Mustapa Mohamed semasa berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 2013 hingga 2017.

Beliau seterusnya menyertai Axiata sebagai Ketua Pengurusan Pihak Berkepentingan Kerajaan Wilayah dan seterusnya sebagai Penasihat Khas kepada Ketua Pegawai Eksekutif Strategi Sektor Awam dan Ekonomi Digital di Celcom Axiata Bhd pada 2019.

Beliau kemudiannya menyertai TikTok Malaysia pada Februari lalu.

Pelantikan beliau bagi menggantikan Mahadhir Aziz yang tamat penggal jawatan CEO pada 31 Ogos 2024.

Biz Day MYDCF 2024, yang diadakan dari 1 hingga 3 Oktober, menghimpunkan pemain-pemain utama dalam animasi, permainan digital, XR, metasemesta dan teknologi kreatif.

Acara itu menarik lebih 1,000 peserta dari Malaysia, Korea Selatan, India, China, Jepun, Iran, Singapura, Thailand dan Filipina, serta menampilkan lebih 100 penceramah dari Amerika Utara, Eropah, Australia dan rantau ini.

Acara kemuncak Biz Day MYDCF 2024 ialah SEA Awards 2024, acara berprestij yang mengiktiraf pencipta kandungan digital terbaik di seluruh Asia Tenggara. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini