Tumpuan :
Detik Niaga

Bank tempatan dalam kedudukan mantap

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Sektor perbankan Malaysia berada pada kedudukan yang mantap untuk menangani potensi kemerosotan kualiti aset yang timbul akibat tekanan inflasi, kadar faedah yang lebih tinggi dan ancaman pertumbuhan global yang lebih perlahan, kata RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings).

Ketua Bersama Penarafan Institusi Kewangan RAM Ratings, Wong Yin Ching percaya kejatuhan Silicon Valley Bank (SVB) dan dua bank kecil di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini tidak akan menjejaskan penarafan ke atas bank tempatan. Beliau menjangkakan pertumbuhan pinjaman akan terus diterajui oleh sektor perbankan Islam, yang menyumbang lebih 80 peratus daripada pertumbuhan industri itu pada 2022.

Kemerosotan permohonan pinjaman sejak beberapa bulan terakhir di tengah-tengah kenaikan kadar faedah menandakan permintaan kredit yang lemah.

“Oleh itu, kemunculan China daripada pengasingan sewajarnya merangsang pertumbuhan pinjaman perniagaan kerana ia penyumbang utama kepada perdagangan dan ketibaan pelancong Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Yin Ching berkata, pinjaman terjejas kasar (GIL) boleh meningkat kerana kos sara hidup yang lebih tinggi dan kenaikan kadar kumulatif 100 mata asas pada 2022 menghalang keupayaan pembayaran balik peminjam, terutamanya mereka yang berada dalam kumpulan berpendapatan rendah serta perusahaan kecil.

Langkah penangguhan pinjaman yang berterusan juga mampu meningkatkan tunggakan walaupun kadar purata pinjaman domestik di bawah bantuan dalam lapan kumpulan perbankan terpilih berkurangan kepada bawah tiga peratus.

Beliau berkata, nisbah GIL industri agak stabil pada 1.72 peratus menjelang akhir 2022 (2021: 1.68 peratus).

“Kami percaya kelemahan kualiti kredit akhirnya, akan dibendung, mengambil kira standard pengunderaitan berhemat bank. Nisbah GIL boleh terus menokok kepada 2.0 peratus menjelang akhir 2023,” tambahnya.

Memandangkan bank-bank Malaysia sedang menyelaraskan diri bagi menangani risiko iklim sejajar dengan keperluan pengawalseliaan, RAM Ratings menjangka untuk melihat lebih banyak bank menawarkan dan menyesuaikan lebih banyak produk (termasuk hijau, berkaitan kelestarian atau pembiayaan peralihan) bagi membantu pelanggan dan perniagaan menyahkarbon, yang mungkin menawarkan cara untuk mendapatkan kelebihan berbanding persaingan mereka.

RAM Ratings mengekalkan prospek stabil terhadap sektor perbankan Malaysia.

Sementara itu, Maybank Investment Bank Bhd berpendapat bank-bank Malaysia mempunyai perbandingan yang baik, dengan kecairan yang mencukupi (nisbah pinjaman kepada deposit: 92 peratus, nisbah liputan kecairan: 145 peratus) modal, asas deposit melekit/pelbagai termasuk kunci kira-kira yang jauh lebih rendah daripada terdedah kepada risiko kadar faedah.

Pengurus Portfolio Ekuiti Asia Eastpring, Sundeep Bihani ketika mengulas mengenai kewangan Asia berkata, kebanyakan bank pusat Asia cenderung bersikap konservatif dalam pengawasan mereka terhadap bank dan menggunakan piawaian ketat berhubung parameter pembiayaan perbankan.

Banyak bank pusat Asia masih ingat pelajaran daripada Krisis Kewangan Asia 1997 dan berkata kewangan Asia mempunyai tahap modal yang lebih tinggi daripada yang dikawal selia, serta yang mana, tempoh aset dan liabiliti mereka dipadankan dengan baik.

“Bagi bank-bank Asia, pelaburan jangka matang mereka biasanya hanya peratusan kecil daripada jumlah aset, dan nisbah liputan mudah tunai jangka pendek mereka adalah tinggi berbanding sejarah.

“Kami sedang memantau kesan pusingan kedua yang berpotensi yang boleh datang daripada kecairan dolar SS yang lebih ketat, risiko rakan niaga yang lebih tinggi dan spread kredit global yang meluas.

Dalam keadaan sedemikian, bank-bank yang mempunyai modal yang lebih besar dan dibiayai dengan kos rendah akan cenderung untuk berprestasi lebih baik,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini