comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bank pusat Eropah dijangka mula turunkan kadar faedah dari paras tertinggi

FOTO: Reuters

FRANKFURT: European Central Bank (ECB) dijangka akan mula mengurangkan kadar faedah dari paras tertinggi pada Khamis ini, penurunan pertama dalam tempoh hampir lima tahun, namun situasi inflasi yang masih tidak menentu menjadikan prospek masa hadapan masih tidak pasti.

Selepas satu siri kenaikan kadar faedah yang belum pernah terjadi sebelum ini di zon euro, iaitu bermula pada pertengahan 2022 untuk mengawal kenaikan kos tenaga dan makanan yang melambung, kadar inflasi perlahan-lahan turun menuju sasaran dua peratus seperti yang disasarkan olah ECB.

Kadar faedah kekal tidak berubah sejak Oktober, justeru menjadikan jangkaan hampir pasti bank pusat akan mengurangkan kos pinjaman sebanyak satu perempat mata peratusan pada Khamis ini, yang akan menyaksikan kadar deposit utama turun kepada 3.75 peratus.

Langkah ini akan memberi dorongan yang sangat diperlukan untuk ekonomi zon euro yang sedang berdepan cabaran dan ia akan menjadi pengurangan pertama sejak September 2019.

Langkah ini juga menandakan ECB menyimpang dari dasar Rizab Persekutuan AS, yang juga telah menaikkan kadar faedah secara agresif, tetapi dijangka tidak akan mula mengurangkan buat masa ini sehingga terdapat data yang lebih meyakinkan untuk berbuat demikian.

“ECB hampir pasti akan mengurangkan kadar dasarnya. Langkah ini telah lama dijangka oleh pasaran,” kata Frederik Ducrozet, Ketua Ekonomi Pictet Wealth Management.

“Fokus sekarang akan beralih kepada apa yang akan berlaku selepas Jun.

“Kempen pengetatan ECB bermula selepas inflasi didorong lebih tinggi oleh pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada 2022 dan masalah rantaian bekalan berkaitan pandemik, dengan bank menaikkan kadar sebanyak 10 kali berturut-turut.

Namun begitu, pengurangan yang dijangka pada Khamis ini tidak mungkin menandakan permulaan kitaran penurunan yang agresif.

Walaupun kenaikan harga pengguna telah perlahan dari paras puncak lebih 10 peratus pada akhir 2022, apabila Eropah dibebani kos tenaga, menurunkan inflasi ke sasaran ECB terbukti sukar.

Data minggu lalu menunjukkan bahawa inflasi di 20 negara yang menggunakan euro meningkat pada Mei, dan lebih cepat daripada yang dijangkakan, iaitu kepada 2.6 peratus setahun, naik dari peningkatan 2.4 peratus pada April.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini