WASHINGTON: Rizab Persekutuan mengambil langkah mengekalkan kadar faedah, sambil memberi isyarat menerusi unjuran baharunya bahawa kos pinjaman mungkin masih perlu dinaikkan separuh mata peratusan menjelang akhir tahun 2023.
Ini adalah tindakan terbaharu bank pusat itu susulan ekonomi AS yang lebih kukuh daripada jangkaan dan kadar inflasi yang semakin perlahan.
Dalam satu sidang akhbar di penghujung mesyuarat dasar terbaru bank pusat itu, Pengerusinya, Fed Jerome Powell menyifatkan pertumbuhan ekonomi AS dan pasaran pekerjaan sebagai lebih baik daripada yang dijangkakan.
Ia berlaku di sebalik bebanan pengetatan dasar monetari yang agresif tahun lalu.
Langkah pemberhentian kenaikan kadar faedah juga adalah diluar jangkaan, dan Powell berkata, ia untuk membolehkan Fed mengumpul lebih banyak maklumat sebelum menentukan sama ada perlu menaikkan semula kadar.
Selepas setahun yang mana ramai ahli ekonomi dan penganalisis berpendapat kemelesetan tidak dapat dielakkan, namun di bawah unjuran suku tahunan terbaru Fed didapati “anggaran pertumbuhan naik sedikit, anggaran pengangguran turun sedikit, anggaran inflasi naik,” kata Powell.
Secara keseluruhan, data itu mencadangkan “lebih banyak kekangan diperlukan daripada yang kami fikirkan,” kata Powell berhubung unjuran baharu yang menunjukkan peralihan seragam yang lebih tinggi dalam tinjauan kadar faedah penggubal dasar untuk tahun itu.
Sembilan daripada 18 pegawainya melihat penanda aras kadar faedah semalaman meningkat separuh mata peratus lagi daripada mata peratusan melebihi julat semasa 5.00-5.25 peratus, manakala tiga yang lain merasakan ia perlu meningkat lebih tinggi.