
KUALA LUMPUR : Bank Muamalat Malaysia Bhd telah bekerjasama dengan Malakoff Corporation Bhd dalam program pembiayaan untuk tenaga boleh diperbaharui (RE), khususnya sistem fotovoltan solar, sistem penyimpanan tenaga bateri serta pengecas kenderaan elektrik (EV) bagi menyokong pertumbuhan dan pembangunan penyelesaian tenaga lestari.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Khairul Kamarudin berkata kerjasama itu akan menyediakan opsyen pembiayaan kepada perniagaan serta individu yang ingin mengguna pakai RE, yang seterusnya akan membantu mengurangkan jejak karbon negara dan menyokong peralihan kepada masa depan yang lebih mampan.
Beliau berkata kerjasama itu adalah seiring dengan inisiatif Belanjawan 2023 berkaitan RE selain mencerminkan komitmen kedua-dua organisasi tersebut untuk menggalakkan amalan lestari di negara ini.
“Kerjasama ini adalah salah satu daripada pelbagai kaedah menonjolkan komitmen kami ke arah #BetterLivesTogether dan masa hadapan yang lebih lestari bagi kesemua rakyat Malaysia,” katanya.
Menerusi program itu, Pengarah Perbankan Runcit Zury Rahimee Zainal Abiden berkata bank berkenaan merupakan yang pertama menawarkan pembiayaan eko-hijau bagi panel solar serta pengecas EV rumah melalui kad kredit, pembiayaan peribadi dan pembiayaan rumah dengan kadar ansuran yang sangat rendah. Ia akan disesuaikan dengan keperluan pelanggan, katanya.
“Kami menyasarkan 5,000 pelanggan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM250 juta bagi 2023. Perkara utama di sini adalah untuk mendidik pelanggan mengenai alam sekitar dan manfaat kewangan dalam jangka panjang,” katanya selepas pelancaran kerjasama Bank Muamalat dan Malakoff Corporation.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata kerjasama itu akan membantu merangsang penggunaan tenaga yang lebih bersih serta mampu dimiliki oleh perniagaan dan individu. Ia juga akan menjadi pemangkin untuk memupuk kesedaran alam sekitar di kalangan rakyat Malaysia.
“Kami komited untuk menerajui peralihan negara ke arah sumber tenaga yang lebih hijau ketika kumpulan terus mengembangkan portfolio RE kami di samping menyediakan penyelesaian tenaga lestari, sejajar dengan sasarannya bagi mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
”Di sebelah kami pula, bank akan memberi pemahaman mengenai penggunaan elektrik kepada pelanggan dan dari situ kami akan menyediakan penyelesaian mengenai jenis pelaburan yang sesuai untuk tenaga hijau,” katanya.
BERNAMA