Tumpuan :
Detik Niaga

Bank Muamalat catat PBZT RM306.7 juta bagi TK2022

KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Bhd mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) sebanyak RM306.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2022 (TK2022).

Keuntungan tersebut mewakili pertumbuhan 20.3 peratus daripada RM254.9 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama sebelumnya, kata bank itu dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Khairul Kamarudin berkata prestasi cemerlang itu sebahagian besarnya dipacu oleh peningkatan dalam pendapatan yang boleh diagih dan pertumbuhan pembiayaan yang teguh seiring dengan pertumbuhan perniagaan kumpulan serta kualiti aset yang lebih baik.

“Kumpulan juga mencatat pertumbuhan dalam jumlah aset yang berkembang sebanyak 14.4 peratus kepada RM31.5 bilion, berbanding RM27.6 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.

“Ini sebahagian besarnya disumbangkan melalui pertumbuhan sebanyak 16.2 peratus atau peningkatan RM3.3 bilion dalam jumlah pembiayaan kepada pelanggan, iaitu daripada RM20.7 bilion kepada RM24.0 bilion, terutamanya daripada segmen perbankan pengguna,” katanya.

Khairul bagaimanapun berkata, kualiti aset kumpulan kekal rendah, dengan pembiayaan terjejas kasar berada pada 0.85 peratus pada 31 Dis, 2022, meningkat sedikit berbanding 0.83 peratus yang dicatatkan pada 31 Dis, 2021.

Beliau juga berkata nisbah modal ekuiti biasa peringkat 1 kumpulan dan jumlah nisbah modal kekal stabil, masing-masing pada 12.5 peratus dan 17.6 peratus, jauh melebihi keperluan kawal selia.

Melangkah ke hadapan, bank itu berkata ia menyedari prospek ekonomi yang berkembang tahun ini dan bersedia untuk mengharungi cabaran bagi mencatatkan satu lagi pencapaian penting dalam tahun kewangan 2023. – BERNAMA

Loading...
Terkini