KUANTAN: Cawangan baharu Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) di Indera Mahkota di sini, iaitu yang kelima di Pahang dan ke-68 di Malaysia, dirasmikan pada Jumaat.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata lokasi ini dipilih kerana ia adalah kawasan yang strategik, terletak berdekatan dengan pusat pentadbiran Pahang yang baharu selain kawasan perdagangan serta kediaman yang berkembang maju.
“Cawangan ini telah memulakan operasi pada 9 Dis lepas dan pihak kami telah menerima hampir 300 pelanggan baharu dengan jumlah transaksi perniagaan melebihi RM8 juta,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Bank Mualamat cawanagan Indera Mahkota, di sini.
Perasmian itu disempurnakan oleh Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang Datuk Mohamad Nizar Mohd Najib.
Khairul berkata pihaknya akan memastikan perkhidmatan terbaik dan lengkap diberikan untuk keselesaan serta kemudahan pelanggan.
Cawangan ini menyediakan perkhidmatan antaranya akaun deposit dan pelaburan, ArRahnu, pelaburan konsumer seperti emas, takaful serta pembiayaan rumah, peribadi dan perniagaan.
Bank Muamalat juga ialah ejen rasmi bagi Amanah Saham Nasional Bhd, zakat dan Tabung Haji, katanya.
Selain Indera Mahkota, bank itu turut mempunyai cawangan di Bandar Mentakab, Bandar Temerloh, Kuantan dan Pekan bagi negeri ini.
Dalam pada itu, beliau berkata Bank Muamalat telah menjalinkan kerjasama strategik dengan kerajaan Pahang menerusi program sokongan Bank Muamalat iTEKAD, iaitu Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang 2022 (i-PUSH 2022) dengan peruntukan berjumlah RM20 juta yang disediakan kerajaan negeri.
Program i-PUSH dan iTEKAD memberi nilai tambah kepada usaha kerajaan negeri dalam membantu usahawan menerusi bantuan agihan kewangan atau pembiayaan mikro dan latihan serta khidmat nasihat pensijilan halal kepada golongan usahawan asnaf, B40 dan usahawan kecil dan sederhana.
Khairul berkata setakat ini lebih RM6 juta telah diluluskan dan diagihkan kepada lebih 700 usahawan negeri Pahang.
Pada majlis berkenaan Bank Muamalat turut menyampaikan sumbangan tanggungjawab sosial korporat kepada masjid dan rumah kebajikan sekitar Kuantan berjumlah RM10,000. – BERNAMA