KUALA LUMPUR: Keputusan institusi kewangan mengehadkan pembiayaan untuk pelaburan minyak dan gas (O&G) baharu akan menghalang kemajuan peralihan tenaga, terutamanya di Asia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, berkata bermula 2017 hingga 2019, terdapat kebimbangan bahawa pelaburan ke dalam industri O&G terjejas.
“Anda boleh lihat dengan jelas sudah wujud jurang struktur, defisit struktur dan kita kini hampir tidak dapat mengatasinya.
“Ketika wabak, gas asli cecair (LNG) berada pada paras AS$2 setiap sejuta unit terma British (MMBtu) dan dalam tempoh 18 bulan, kita menyaksikan harga AS$35 hingga AS$40 MMBtu. Ini bukan sepatutnya tenaga harus diurus. Ia tidak mampan untuk pembeli dan pengguna,” katanya pada sidang media Energy Asia 2023 di sini.
Yang turut serta, Naib Pengerusi S&P Global, Dr Daniel Yergin.
Tengku Muhammad Taufik berkata, terdapat pelbagai sebab kurangnya pelaburan dalam industri O&G, termasuk tekanan daripada pelabur institusi dan, dalam beberapa kes, ia membabitkan kerajaan.
“Kita telah melihat beberapa pihak meningkatkan pelaburan mereka tetapi masih terdapat isu yang tergantung di pasaran dan itu terbukti dengan kurangnya pelaburan yang signifikan pada musim luruh 2021 sebelum pencerobohan Russia ke atas Ukraine,” katanya.
Beliau menambah, terdapat tempoh yang menyebabkan kurangnya pelaburan disebabkan oleh dua kejatuhan harga komoditi itu sebelum ini.