Tumpuan :
Detik Niaga

Bank digital bantu kumpulan sasar atau bersaing dengan bank lain?

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan lima konsortium berjaya mendapat lesen bank digital pada April 2022.

Setakat ini, tiga bank digital sudah beroperasi iaitu GXBank, AEON Bank dan Boost Bank manakala KAF Digital Bank baru mendapat kelulusan bank pusat.

Beroperasi sepenuhnya di alam maya, bank digital memudahkan akses kepada pembiayaan untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Malaysia.

Walaupun jumlah pembiayaan rendah berbanding bank konvesional, syarat pinjaman bank digital adalah lebih mudah.

Pengarah Eksekutif ABM, Amina Josetta Kayani.

Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia (ABM) tidak menafikan terdapat pertindihan antara perkhidmatan ditawarkan bank digital dan bank konvensional.

Namun, bank digital perlu memastikan ia tidak hanya memanfaatkan pengguna di bandar yang mahukan tawaran menarik.

“Supaya kita dapat memastikan bahawa segmen masyarakat yang disasarkan, benar-benar dapat menikmati dan mengakses perkhidmatan yang ditawarkan,” kata Pengarah Eksekutif ABM, Amina Josetta Kayani kepada BuletinTV3.

Ketua Pegawai Eksekutif, GXBank, Pei Si Lai.

Ketua Pegawai Eksekutif, GXBank, Pei Si Lai berkata kajian pihaknya mendapati jurang akses kewangan di Malaysia bukan sahaja terhad kepada golongan B40 atau yang tinggal di luar bandar.

“Ia bukan hanya B40, ia sekumpulan besar rakyat Malaysia, yang hari ini yang mungkin mahu pembiayaan. Sebagai contoh mereka tidak boleh mendapatkan kuantum, tidak boleh mendapatkan penyelesaian yang tepat,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif, AEON Bank, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz.

Ketua Pegawai Eksekutif, AEON Bank, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata bank digital membantu menampung permintaan pembiayaan oleh indutsri khususnya PMKS.

Dianggarkan PMKS mempunyai keperluan pinjaman RM90 bilion yang tidak dapat dipenuhi bank konvesional atau syarikat kredit lain.

“Adakah digital bank akan menggantikan bank-bank besar? Jawapan saya tidak mungkin. Jadi bank besar mengokong korporat, kami yang kecil menyokong peniaga kecil,” katanya.

Contohnya, seorang peniaga kecil boleh memohon pinjaman dengan pantas kerana bank digital beroperasi sepenuhnya dalam talian.

Tempoh kelulusan juga lebih singkat sekitar beberapa hari berbanding bank tradisional yang mengambil masa berbulan-bulan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini