
Oleh: Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: Meskipun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mencatatkan dividen yang kukuh dan berdaya saing.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ia membuktikan daya tahannya serta komitmennya dalam memastikan masa depan persaraan pencarum terjamin.
“Turut membanggakan adalah Simpanan Shariah berjaya mencatat prestasi yang setanding dengan Simpanan Konvensional berikutan pelaksanaan pemisahan kedua-dua dana pada Januari 2024.“ kata beliau dalam media sosial rasmi berkenaan pengumuman dividen KWSP.
KWSP mengumumkan dividen 6.3 peratus masing-masing untuk simpanan konvensional dan simpanan shariah bagi 2024, dividen tertinggi sejak tahun 2018.

Tambah beliau yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, peningkatan caruman sukarela juga jelas menunjukkan bahawa semakin ramai memilih untuk mempunyai jumlah simpanan yang mencukupi apabila mereka bersara kelak.
“Prestasi dividen, lonjakan prestasi Simpanan Shariah dan peningkatan ketara caruman sukarela, adalah petanda penting bahawa ekonomi negara semakin kukuh. Prestasi dividen KWSP yang cemerlang bukan sahaja memberi manfaat kepada simpanan persaraan ahli, tetapi juga kepada ekonomi negara secara keseluruhan.”katanya.
Di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata beliau, dasar pro-pertumbuhan, pelaburan dalam infrastruktur, dan langkah fiskal di bawah kerangka Ekonomi Madani memainkan peranan kritikal dalam meningkatkan keyakinan perniagaan.
KWSP adalah salah satu daripada enam Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) yang mengambil bahagian dalam program GEAR-uP yang diterajui oleh Kementerian Kewangan bagi mempercepatkan penstrukturan ekonomi negara.
Di bawah program ini, GLIC terbabit komited untuk melabur sebanyak RM120 bilion dalam pelaburan langsung domestik (DDI) dalam tempoh lima tahun, serta RM440 bilion dalam pelaburan pasaran awam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.