comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Banci Pertanian formula tangani kenaikan harga makanan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Salah satu punca Malaysia terdedah kepada risiko kenaikan harga makanan mendadak adalah kerana industri pertanian berkaitan makanan bukan aktiviti besar dalam ekonomi negara, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau mengakui sememangnya betul ada sumbangan yang besar kepada ekonomi dari sektor pertanian, tetapi ia lebih kepada industri perladangan besar-besaran untuk kelapa sawit.

Justeru, katanya, agensi Kementerian Ekonomi iaitu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan memulakan Banci Pertanian 2024, iaitu usaha pengumpulan data menyeluruh mengenai industri pertanian di seluruh negara.

“Banci Pertanian dijalankan oleh pentadbiran terdahulu sebanyak tiga kali saja sebelum ini, iaitu semasa pentadbiran Tunku Abdul Rahman (1960), Tun Hussein Onn (1977) dan Tun Abdullah Badawi (2005).

“Ia langsung tidak dijalankan semasa pentadbiran Tun Mahathir Mohamad atau Datuk Seri Najib Razak, yang memberi gambaran bagaimana dalam dekad-dekad terdahulu, tumpuan perancangan pertanian tidak menggunakan data yang paling terkini dan tepat.

“Saya teruja dengan dapatan Banci Pertanian 2024 ini yang akan membantu perancangan pertanian moden negara untuk 10 tahun akan datang,” katanya dalam hantaran di platform X rasmi miliknya.

Mengenai hasilnya, Rafizi berkata, menerusi perancangan yang baik, daripada data yang lengkap, disusuli dengan pelaksanaan berfokus, akan merungkai masalah keterjaminan makanan dan kestabilan penawaran dan permintaan makanan dari satu tahun ke satu tahun.

Beliau berkata, hala tuju pertanian negara adalah kunci untuk memperbaiki beberapa kekangan utama dalam ekonomi, seperti import makanan yang tinggi, kenaikan harga makanan dan pengwujudan peluang pekerjaan di kawasan luar bandar untuk menghidupkan ekonomi luar bandar.

Katanya, usaha memodenkan industri pertanian ke arah kestabilan penawaran dan permintaan serta keterjaminan makanan banyak pula bergantung kepada guna tanah bagi tujuan pertanian, serta kemampuan negara menggerakkan lebih banyak guna tenaga ke dalam sektor pertanian.

“Semua ini tidak akan berlaku hanya melalui slogan atau arahan dasar. Ia memerlukan data yang lengkap dari seluruh negara, berapa banyak tanah yang digunakan untuk pertanian, tanaman apa yang diusahakan, mutu tanah yang berbeza-beza, topografi bumi, jumlah pekerja, kos untuk menghasilkan produk pertanian dan sebagainya,” katanya.

Loading...
Terkini