comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Banci Ekonomi 2023 bakal dilaksana bermula bulan depan

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Oleh Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Banci Ekonomi 2023 bakal dilaksana Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) bermula bulan depan di seluruh negara, bagi mendapatkan penanda aras ekonomi, yang lebih terperinci.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Banci Ekonomi ini dilaksana setiap lima tahun. Kali terakhir pada tahun rujukan 2015 dan sepatutnya dijalankan semula pada tahun rujukan 2020.

Bagaimanapun, tahun 2020 dilihat tidak wajar untuk garis dasar data kerana bukan tahun yang normal ekoran pergelutan pandemik COVID-19 dan perintah kawalan pergerakan.

“Tujuan Banci Ekonomi adalah untuk mendapatkan satu garis asas yang holistik, yang perlu ditambah baik. Untuk itu, kami akan laksana banci ini pada tahun ini berdasarkan tahun rujukan 2022. Apabila bermula Februari depan, kami akan menyoal berkenaan prestasi kepada 1.2 juta pertubuhan terlibat bagi tahun kewangan Januari hingga Disember 2022,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Bursa Malaysia dan DoSM di sini, hari ini.

Jelas beliau, 1,248,260 pertubuhan ini bukan dikira sebagai setiap syarikat. Ia adalah pertubuhan perniagaan.

“Misalnya, satu syarikat berpaksi di 100 daerah, ia bermakna syarikat akan terlibat dengan 100 bancian kerana statistik akan berdasarkan lokaliti pertubuhan itu,” katanya.

Pertubuhan ini merangkumi sektor perlombongan dan pengkuarian, pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, bekalan elektrik, bekalan air dan pembentungan serta pertanian.

Banci Ekonomi penting untuk menilai pencapaian dasar negara seperti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Program Transformasi Malaysia, selain tujuan pengeluaran statistik ekonomi baharu seperti Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) serta Internet Pelbagai Benda (IoT).

Loading...
Terkini