Oleh Afrina Romzi
KUALA LUMPUR: Axiata Group rancang untuk melancarkan bank digitalnya menjelang akhir tahun ini, dengan modal permulaan sekitar RM100 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Axiata Group, Vivek Sood, berkata kumpulan juga optimis bank digitalnya akan mencatat keuntungan menjelang tiga hingga empat tahun akan datang.
Sebahagian besar tawaran produk bank digital termasuk deposit untuk pemegang akaun semasa dan akaun simpanan (CASA), serta kredit, insurans dan produk kewangan lain yang akan ditawarkan secara beransuran bermula akhir tahun ini.
“Kami optimis dengan hasil yang akan diraih daripada bank digital kerana terdapat banyak produk yang telah kami lakukan yang hanya perlu diterjemahkan ke dalam bank.
“Sebagai contoh, kami telah melaksanakan sekitar 1.5 bilion pinjaman kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi Boost Credit,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Axiata, secara maya, hari ini.
Tambah beliau, ia juga mempunyai 500,000 pengguna aktif setiap bulan yang berpotensi menjadi pelanggan awal bank digital itu.
Anak syarikat Axiata, Boost Holdings Sdn Bhd, adalah konsortium dengan RHB Bank Bhd, yang memperoleh lesen bank digital daripada Bank Negara Malaysia.