comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Awas ‘scammer’! Aktiviti kini diperhatikan teknologi AI 

Foto hiasan

Oleh: Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Malaysia melancarkan Portal Fraud Kebangsaan (NFP) berasaskan teknologi automasi pertama di rantau ini, untuk mengesan dan menjejaki aktiviti penipuan yang dilaporkan.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, platform ini juga akan memperkasa kemampuan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NRSC) bagi mencegah penipuan siber yang semakin berleluasa.

Portal ini juga disokong akses kepada data berkaitan akaun keldai daripada seluruh industri kewangan.

Melaluinya, kadar pengesanan pemegang akaun keldai juga meningkat 14%.

“Portal ini mengintegrasikan data transaksi kewangan dari pelbagai sumber untuk mengesan transaksi mencurigakan secara automatik dan memudahkan pengesahan oleh institusi terlibat. Automasi ini mempercepatkan tindakan, mengurangkan masa pengesanan penipuan, dan mencegah kerugian lanjut.

“Tindak balas pantas adalah teras untuk menghalang dana yang dicuri daripada dikeluarkan dari sistem kewangan, justeru meningkatkan kemungkinan pemulangan.” kata beliau dalam ucapan perasmian NFP.

Sejak peringkat rintis, NFP telah mengurangkan masa menjejaki transaksi penipuan hingga 75% dan meningkatkan jumlah purata bulanan dana dibekukan oleh institusi kewangan sebanyak 28% atau RM4 juta.

Dalam pada itu, lebih RM380 juta transaksi mencurigakan dapat dihentikan hasil langkah kawalan institusi kewangan.

Datuk Seri Amir Hamzah turut mengesahkan — Rang Undang-Undang Keselamatan Digital akan dibentangkan di Parlimen akhir tahun ini.

Ia memperkasa pihak penguatkuasa untuk menghentikan cubaan penipuan pada peringkat awal dalam platform digital.

Selain itu, pindaan terbaru Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah adalah bukti ketegasan kerajaan dalam memerangi penipuan kewangan.

Pindaan ini meningkatkan keupayaan agensi penguatkuasaan undang-undang, seperti Polis Diraja Malaysia, untuk menangani jenayah siber yang semakin kompleks.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini