Tumpuan :
Detik Niaga

Autocount bakal disenaraikan di Papan ACE , sasar RM30.88 juta daripada IPO

(Dari kiri) Barisan pengarah Autocount iaitu pengarah bebas bukan eksekutif, Chin Chee Seng; Pengarah bebas bukan eksekutif, Datuk Ng Wan Peng; Pengarah Urusan, Choo Yan Tiee; dan Pengerusi Eksekutif, Encik Choo Chin Peng; diikuti pihak Malacca Securities, Pengarah Urusan, Lim Chia Wei; dan Pengerusi Eksekutif, Lim Peng Cheong di majlis pelancaran prospektus pada 14 April 2023.

Oleh Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Penyedia penyelesaian teknologi, Autocount Dotcom Bhd yang bakal disenaraikan di Papan ACE pada 9 Mei 2023, sasar untuk mengumpul RM30.88 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).

Sekitar 56 peratus atau RM17.3 juta daripada hasil IPO adalah untuk melebarkan sayapnya di empat negara rantau ASEAN iaitu Thailand, Indonesia, Filipina dan Vietnam.

Pengarah Urusan Choo Yan Tiee berkata “Kami sudah mula mencari pejabat fizikal di empat negara ASEAN dan sudahpun mula mengambil pekerja dari Malaysia. Kami juga akan mula menggaji pekerja sebelum kami masuki pasaran. Sebelum memasuki pasaran kami juga perlu menyetempatkan perisian kami agar sesuai dengan keperluan berkanun tempatan yang wajib bagi empat negara ASEAN ini.”

Beliau berkata sedemikian selepas pelancaran prospektus IPO syarikat di sini, pagi tadi

Choo berkata 17 peratus lagi daripada hasil IPO atau RM5.2 juta, akan diguna untuk penyelidikan dan pembangunan bagi mengembangkan ciri-ciri produknya termasuk meningkatkan titik jualan awan (POS), penyelesaian e-dagang, perakaunan awan dan senarai gaji serta sumber manusia.

Baki hasil adalah untuk modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian kumpulan.

Permodalan pasaran syarikat dalam penyenaraian ialah RM181.7 juta.

Sehingga kini, syarikat itu telah menjual 70,000 lesen perisian AutoCount untuk digunakan oleh 210,000 perniagaan dan syarikat di Malaysia dan Singapura.

Malacca Securities Sdn Bhd ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO Autocount.

Loading...
Terkini