KUALA LUMPUR: Australia mengenal pasti empat sektor utama yang berpotensi bagi mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi dengan Malaysia di bawah ‘Invested: Australia’s Southeast Asia Economic Strategy to 2040’ yang baharu dilancarkan.
Ia adalah pertanian dan makanan, sumber, pendidikan dan kemahiran, serta ekonomi digital.
Menurut pelan tindakan itu, bidang kerjasama masa depan dalam sektor pertanian dan makanan termasuk sistem kawalan makanan, perdagangan makanan, dan peluang untuk perniagaan tani.
Pada masa ini, Australia menyediakan sebahagian besar produk makanan kepada Malaysia, termasuk anggaran 10 peratus daripada produk tenusu Malaysia, satu perempat daripada daging import dan dua pertiga daripada gandum import.
Dalam sektor sumber, ia menyatakan bahawa Australia berminat untuk terus menyokong pelan peralihan tenaga Malaysia melalui memperkukuh perkongsian peringkat institusi dan meluaskan bantuan teknikal mengenai penyahkarbonan, dan pembiayaan infrastruktur antara lain.
Ia menambah bahawa pada 2022, gas asli, tembaga dan arang batu merupakan antara enam barangan eksport tertinggi Australia ke Malaysia.
Strategi itu juga menggariskan komitmen Australia untuk meningkatkan kerjasama dalam ekonomi digital dengan Malaysia bagi menyokong cita-cita negara untuk menjadi negara berpendapatan tinggi yang dipacu secara digital dan peneraju serantau dalam ekonomi digital.
Australia dan Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman Australia-Malaysia Tech Exchange mengenai kerjasama digital pada 2020 untuk meningkatkan kerjasama digital, mengurangkan halangan kepada perdagangan digital dan mempromosikan peraturan perdagangan digital terbuka.
Ia juga berharap untuk menaik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia untuk memasukkan peruntukan baharu dan kerjasama dalam ekonomi digital dan hijau.
Dalam pendidikan, Australia dan Malaysia komited untuk meneruskan kerjasama dalam pendidikan dan latihan vokasional, penyampaian pendidikan tinggi dalam talian dan jaminan kualiti, pengiktirafan kelayakan dan kerjasama penyelidikan.
Ini akan memberi peluang lebih lanjut kepada penyedia pendidikan Australia.Australia adalah antara destinasi pendidikan pilihan utama untuk rakyat Malaysia.