Tumpuan :
Detik Niaga

ASB 3 Didik agih pendapatan 5.00 sen seunit

Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik)

KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik) sebanyak 5.00 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023.

Ia lebih tinggi berbanding 4.25 sen seunit yang diumumkan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022.

Pulangan sebanyak 5.00 sen seunit itu juga mengatasi penanda aras pulangan 2.76 peratus yang dicatatkan oleh deposit tetap 12 bulan Maybank sebanyak 224 mata asas.

“ASB 3 Didik mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM368.15 juta, bersamaan 5.00 sen seunit kepada 312,476 pemegang unit yang kini memiliki 7.36 bilion unit,” kata PNB dalam satu kenyataan.

Sehingga 26 Jun 2023, ASB 3 Didik merekodkan pendapatan bersih yang direalisasi sebanyak RM346.41 juta.

PNB berkata, pendapatan dana itu diperoleh daripada keuntungan yang direalisasi, dividen serta pendapatan lain daripada pelaburan domestik dan antarabangsa.

Ia berkata, ekuiti domestik dan antarabangsa adalah penyumbang terbesar kepada pendapatan masing-masing sebanyak 41.46 peratus dan 29.75 peratus daripada keseluruhan portfolio.

Katanya, prestasi dan keupayaan dana untuk menjana pendapatan adalah hasil strategi pelaburan yang berkesan, kepelbagaian portfolio, dan pemantauan berwaspada terhadap arah aliran pasaran dan keadaan ekonomi.

Loading...
Terkini