![](https://media.buletintv3.my/2023/07/nXob2Naz-BULETIN-TV3-34.jpg)
KUALA LUMPUR: Syarikat modal teroka global, Antler meluaskan jejak antarabangsa di Malaysia menerusi perkongsian dengan Khazanah Nasional Bhd, sekali gus mengukuhkan lagi kehadirannya di enam benua yang merangkumi Asia Tenggara dengan kehadiran sedia ada di Singapura, Indonesia dan Vietnam.
Antler adalah salah satu syarikat pelaburan peringkat awal yang paling aktif di peringkat global dan melabur dalam lebih 792 syarikat di 26 bandar raya di seluruh dunia dengan nilai portfolio terkumpul sebanyak AS$3.7 bilion (RM17.05 bilion).
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, berkata kerjasama strategik bersama Antler membuka lembaran baharu dalam landskap keusahawanan Malaysia dan membuktikan komitmen tidak berbelah bahagi Khazanah untuk memperkenalkan penyelesaian yang inovatif dan berkesan.
“Kami akan terus mengenal pasti rakan kongsi berpotensi yang mempunyai rekod prestasi yang terbukti, kepakaran dan cadangan nilai strategik untuk menyertai kami membentuk dan memperkasakan generasi usahawan Malaysia akan datang melalui program ini.
Kerjasama dengan Antler adalah pelaksanaan terbaharu bagi sebuah di bawah Dana Impak dikenali sebagai ‘Future Malaysia Programme’ untuk menyokong ekosistem pemula tempatan yang terdiri daripada usahawan, syarikat pemula, modal teroka dan program usaha niaga korporat melalui kerjasama dengan rakan kongsi domestik dan antarabangsa.
Dana Impak adalah komitmen sebanyak RM6 bilion dalam tempoh lima tahun yang menjadi tonggak utama di bawah strategi Khazanah ‘Advancing Malaysia’ untuk memajukan Malaysia.Pakatan strategik itu berfungsi untuk mencungkil dan memupuk bakat keusahawanan.
Pengasas Bersama dan Rakan Pengurusan Asia Antler, Jussi Salovaara, berkata, pihaknya berada dalam misi untuk menambah baik dunia dari segi dasar dengan menyokong dan melabur dalam bakat yang paling luar biasa bermula dari ‘Day Zero investing’ hinggalah syarikat pemula memperoleh kejayaan.
“Menerusi pejabat baharu kami di Kuala Lumpur, Antler menyasarkan untuk melabur dalam lebih 30 syarikat pemula di seluruh Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.Program ‘Venture Generation’ ditetapkan bermula pada Oktober 2023 dan permohonan kini dibuka.