comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Angkasa-X & syarikat China labur RM470 juta pembangunan lebih 11 satelit

Sean (duduk, kiri) bertukar dokumen perjanjian strategik bersama Liu Wei pada majlis menandatangani perjanjian strategik antara Angkasa-X dengan CangYu dan ADASpace hari ini. Foto – Angkasa-X

Oleh: Afrina Romzi

CYBERJAYA: Angkasa-X Innovation Sdn Bhd (Angkasa-X) dan syarikat China, CangYu Space Technology (CangYu) bekerjasama untuk melabur lebih RM470 juta dalam pembangunan satelit Malaysia.

Pengerusi dan Presiden ChangYu, Liu Wei berkata pelaburan itu melibatkan sebuah satelit ‘Geostationary Equatorial Orbit’ (GEO) dan lebih 10 satelit orbit rendah bumi (LEO) dalam lima hingga 10 tahun untuk menyediakan perkhidmatan kepada Malaysia dan ASEAN.

“Kami akan bekerjasama dalam lima hingga 10 tahun, tertumpu dalam pembangunan gugusan stesen bersama dengan satu pusat data untuk memberi perkhidmatan kepada ASEAN. Jumlah pelaburan adalah melebihi AS$100 juta melibatkan satu satelit GEO dan lebih 10 satelit LEO,” katanya kepada media selepas majlis menandatangani perjanjian strategik antara Angkasa-X dengan CangYu dan ADA Space Technology (ADASpace) hari ini.

CangYu ialah syarikat aeroangkasa komersial pertama China yang mempunyai pengkhususan dalam reka bentuk dan operasi sistem penghantaran maklumat menerusi angkasa di orbit tinggi dan sederhana.

Manakala ADASpace ialah sebuah syarikat teknologi internet satelit AI terkemuka dunia yang diasaskan oleh cendekiawan dari universiti, institut penyelidikan, industri dan pemimpin kerajaan dalam bidang satelit serta aplikasi.

Ketua Pegawai Eksekutif ADASpace, Dr Wang Lei berkata syarikatnya bakal melabur dalam pembangunan keupayaan kecerdasan buatan (AI) dalam satelit serta fasiliti AI di Malaysia untuk perkhidmatan ASEAN.

“Kami belum mendedahkan jumlah pelaburan tetapi secara keseluruhan kami akan bekerjasama untuk melabur dalam satelit AI. Kepakaran ADASpace ialah mereka bentuk satelit AI yang boleh membangunkan keupayaan AI dalam satelit di angkasa lepas,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Angkasa-X telah diberikan kelulusan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk penyerahan pemfailan rangkaian satelit A-SEANLINK kepada Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) pada Februari lalu, untuk menubuhkan gugusan A-SEANLINK yang terdiri daripada 500 unit satelit LEO.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Angkasa-X, Datuk Dr Sean Seah berkata proses untuk mendapatkan orbit satelit daripada ITU merupakan pencapaian penting dan satu lonjakan ketara bagi Malaysia dan Angkasa-X.

“Ia juga menunjukkan komitmen kami dalam meletakkan Malaysia untuk menerajui Ekonomi Angkasa ASEAN, selain merapatkan jurang digital, meningkatkan ketersambungan, dan memacu ekonomi dan pembangunan mampan di kawasan luar bandar di rantau ASEAN,” katanya.

Angkasa-X juga telah menerima Geran Pecutan Digital Malaysia (MDAG) daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk mempercepatkan pembinaan modal insan teknologi angkasa untuk pembangunan gugusan satelit dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) pelbagai aplikasi penderiaan jauh untuk berkhidmat kepada negara ASEAN.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini