KUALA LUMPUR: Penyedia penyelesaian tenaga bersih, Gentari Sdn Bhd (Gentari) menerusi entiti sekutunya Gentari Renewables Australia (Solar) Pty Ltd, mengambil alih syarikat dan aset WIRSOL Energy daripada kumpulan syarikat WIRCON GmbH, berkuat kuasa 13 Februari lalu.
WIRSOL Energy adalah penyedia penyelesaian tenaga boleh diperbaharui terkemuka di Australia, yang mempunyai keupayaan sistem simpanan tenaga bateri (BESS) dan solar bersepadu merangkumi 422 megawatt (MW) di dalam kapasiti operasi dan 765 MW kapasiti yang berpotensi di dalam beberapa projek yang kini berada di peringkat pembangunan.
Pengambilalihan itu menandakan pembabitan sulung Gentari, sebuah anak syarikat milik penuh PETRONAS dalam pasaran tenaga boleh diperbaharui di Australia.
Ia juga pencapaian penting dalam usaha Gentari mencapai sasaran kapasiti tenaga boleh diperbaharui di antara 30 hingga 40 gigawatt (GW) menjelang 2030, sekali gus meningkatkan keseluruhan portfolio tenaga boleh diperbaharui Gentari kepada kira-kira 1.6 GW di dalam kapasiti terpasang di Malaysia, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Australia.
Dasar hala tuju Gentari merangkumi rancangan untuk meningkatkan kapasiti solar dan BESS serta meletakkan syarikat sebagai pengeluar hidrogen hijau dengan menjadikan Australia sebagai pasaran strategik untuk mencapai matlamat ini.
Dengan ini, WIRSOL Energy akan menjadi unit perniagaan utama bagi kemasukan sulung dan portfolio keseluruhan Gentari di negara itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Gentari, Sushil Purohit, berkata Australia menawarkan potensi pasaran yang kukuh, dikuatkan dengan sokongan polisi kerajaan dan ekosistem kewangan yang teguh, menjadikan pembelian WIRSOL Energy satu pelaburan yang amat sesuai bagi Gentari.
“Tambahan aset ini kepada portfolio Gentari akan membolehkan kami meneruskan usaha membina kapasiti untuk menyampaikan penyelesaian tenaga lestari bersepadu dan membantu pelanggan di dalam peralihan ke arah pelepasan sifar bersih,” katanya dalam satu kenyataan.
Pasaran tenaga elektrik Australia sedang beralih daripada penjanaan berasaskan batu arang, yang pada masa ini menyumbang sebanyak 66 peratus daripada keseluruhan tenaga elektrik yang diperdagangkan di pasaran, memandangkan stesen-stesen janakuasa sedia ada sedang menghampiri akhir hayat.
Gentari adalah entiti penyelesaian tenaga bersih yang menawarkan penyelesaian berkarbon rendah melalui tiga teras utama iaitu tenaga boleh diperbaharui, hidrogen dan mobiliti hijau, membentuk satu portfolio penyelesaian merentas rantaian nilai elektron untuk membantu pelanggan mencapai pelepasan sifar bersih. –BERITA HARIAN