PETALING JAYA: Leaptec Engineering Sdn Bhd (Leaptec), anak syarikat LBS Bina Group Bhd memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bersama Desan Deniz Ins. San. A.S., sebuah syarikat perniagaan perkapalan terkemuka yang berpangkalan di Istanbul, Turki.
Menerusi perjanjian itu, kedua-dua pihak menyasarkan untuk bekerjasama bagi meneroka potensi pelaksanaan pembinaan dan pembangunan perniagaan limbungan pembaikan kapal serta pembinaan kapal dalam tiga fasa dengan anggaran nilai projek melebihi RM2 bilion di Tanjung Bruas, Melaka.
Leaptec dan Desan juga akan meneroka pelbagai peluang kerjasama, antara lain, sokongan pihak berkaitan, subsidi serta kewangan jangka panjang yang kukuh.
Perjanjian itu akan berkuat kuasa pada 13 April 2023 selama 12 bulan, melainkan perjanjian diperbaharui dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Majlis menandatangani MoU ini diadakan di ibu pejabat Desan di Istanbul, Turki.Pengarah Urusan Kumpulan LBS dan Leaptec, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan telah menandatangani perjanjian bagi pihak Leaptec.
Manakala Desan diwakili oleh Pengerusi, Cenk Ismail Kaptanoglu.
Majlis bersejarah itu turut disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir; Ketua Pegawai Eksekutif Leaptec, Datuk Mohd Anis Hisham Abd Aziz, dan Mantan Presiden BIMCO dan Ahli Lembaga Limbungan Kapal Desan, Dr Sadan Kaptanoglu serta Naib Pengerusi Limbungan Kapal Desan, Hasan Ozgur Cilli.
Pengerusi Eksekutif LBS dan Leaptec, Tan Sri Lim Hock San, berkata ini adalah kerjasama sulung bersama sebuah syarikat terkemuka Turki di dalam bidang perkapalan, Desan.
“Kami turut mempertimbangkan pelbagai rakan kongsi untuk bekerjasama dalam membangunkan projek penambakan Melaka dan berbesar hati untuk bekerjasama dengan Desan.
“Desan amat sinonim dengan sektor pembinaan perniagaan limbungan, pembinaan dan pembaikan kapal, penyelenggaraan, pemodenan, penukaran dan pengubahsuaian semua jenis kapal komersial serta kapal tentera laut.
“Justeru, kami optimis bahawa perjanjian perniagaan ini akan menjadi perintis ke arah memakmurkan lagi pertumbuhan industri yang sesuai untuk projek kami di Melaka,” katanya.