Tumpuan :
Detik Niaga

AmBank raih untung bersih RM378.4 juta pada suku pertama

KUALA LUMPUR:AMMB Holdings Bhd (Kumpulan AmBank) mencatat keuntungan bersih RM378.4 juta pada suku pertama berakhir 30 Jun 2023 (S1TK24), susut 7.8 peratus berbanding RM410.4 juta, pada suku sama tahun lalu.

Penurunan itu antara lain disebabkan oleh kenaikan mendadak dalam caj kemerosotan nilai bersih terutamanya disebabkan oleh peruntukan yang lebih tinggi.

Dalam tempoh itu, jumlah pendapatan kumpulan itu berkembang 4.3 peratus kepada RM1.2 bilion daripada RM1.15 bilion pada suku sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Sulaiman Mohd Tahir, berkata keputusan kewangan kumpulan itu pada suku tahun dikaji menggariskan komitmen mereka terhadap daya tahan dan kepelbagaian strategik hasil sumber.

“Kami telah mengharungi penurunan margin faedah bersih dan pada masa sama, mengukuhkan kecairan kami dengan nisbah modal yang bertambah lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu mengenai tinjauan 2024 beliau berkata, pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6 peratus yang teguh pada suku pertama 2023 memberi gambaran yang baik untuk trajektori fiskal masa depan negara kita.

Katanya, walaupun menghadapi masalah eksport yang lemah dan permintaan luaran yang lesu, kumpulan yakin dengan permintaan domestik, tonggak yang secara konsisten menjadi tulang belakang ekonomi tempatan negara.

“Memandangkan kami sudah memulakan pusingan terakhir strategi Focus 8 kami, cita-cita kami tidak terjejas. Kumpulan fokus dalam komitmennya terhadap penciptaan nilai untuk pemegang saham dan pihak berkepentingan.

“Ini memerlukan bukan sahaja penekanan pada pertumbuhan hasil, tetapi juga pada disiplin kos yang ketat, mengukuhkan asas modal kami, mengekalkan tahap kecairan yang sihat dan memantau kualiti aset dengan berhati-hati.

“Dalam naratif kewangan yang sedang berlaku ini, kami sedang memerhati dengan teliti peluang dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sambil menyokong mandat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kami dan memperjuangkan masa depan digital untuk kumpulan,” katanya.

Loading...
Terkini