PETALING JAYA: Telekom Malaysia Berhad (TM) mengumumkan Amar Huzaimi Md Deris sebagai Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM baharu berkuatkuasa 1 Ogos 2023, menggantikan Datuk Imri Mokhtar, yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan 3 tahun beliau pada 31 Julai 2023.
Amar, yang kini memimpin perniagaan pukal domestik dan global TM, adalah satu lagi contoh bakat dalaman TM, selepas Datuk Imri.
Memulakan kerjayanya dengan TM selepas graduasi pada tahun 1998, pengalaman Amar merangkumi kawalan kewangan, audit dalaman, hal ehwal korporat dan kawal selia, pejabat GCEO, sehingga mencapai tahap hari ini, iaitu mengetuai dan menguruskan perniagaan di TM Global.
Amar Huzaimi Md Deris berkata Datuk Imri telah menetapkan arah yang tepat untuk TM, dengan asas kukuh daripada pemulihan pendapatan dan penerokaan bidang-bidang pertumbuhan baru – merencanakan evolusi dari Telco menjadi sebuah TechCo.
“Saya berbangga telah terlibat di dalam perjalanan tersebut; dan kini saya berazam meneruskannya
dan memimpin TM ke tahap yang lebih tinggi.,” katanya dalam satu kenyataan.
Datuk Imri berkata Amar adalah pemimpin dalaman TM yang cemerlang, dengan kemampuannya yang terbukti dalam menguruskan perniagaan, menghasilkan impak dan kejayaan yang berterusan.
“Saya yakin TM akan mencapai kecemerlangan yang lebih besar di bawah kepimpinan beliau. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada Amar, pasukan pengurusan dan seluruh Warga TM, dalam mereka memulakan fasa seterusnya dalam pertumbuhan dan evolusi syarikat,” katanya.
TM mengucapkan terima kasih kepada Datuk Imri atas perkhidmatannya sebagai Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang telah menyaksikan pemulihan dan pertumbuhan yang ketara, serta atas tempoh perkhidmatan keseluruhan beliau selama 21
tahun di TM.
Dengan pelantikan Amar Huzaimi sebagai Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang baharu, TM yakin akan terus melakar inovasi dan pertumbuhan berterusan, dibina atas asas kejayaan hari ini dan selanjutnya meningkatkan peranannya
sebagai pemangkin Digital Malaysia.