KUALA LUMPUR: Allianz Malaysia Bhd hari ini melancarkan tiga lagi produk Insurans Rahmah baharu, iaitu produk insurans hayat baharu, ‘Allianz Kasih4All’ serta produk perlindungan Komprehensif dan Pihak Ketiga, Kebakaran dan Kecurian untuk ‘Pakej Rahmah Kenderaan Persendirian’.
Pengenalan tiga produk itu menjadikan jumlah produk Insurans Rahmah Allianz Malaysia kepada lima produk termasuk PerlindunganKu Allianz4All dan Allianz Motorcycle Plus yang dilancarkan pada Jun lalu
Ketua Pegawai Eksekutif, Sean Wang, berkata Allianz Malaysia menjadi penanggung insurans pertama dalam industri memperkenalkan produk hayat Rahmah iaitu Allianz Kasih4All.
Allianz Kasih4All boleh diperbaharui secara tahunan dengan pelan insurans tidak-terlibat dan perlindungan sehingga 71 tahun.
Katanya, dua pelan dengan kadar premium untuk Pelan 1 dan Pelan 2, masing-masing bermula pada RM35 dan RM55 untuk mereka yang berumur antara 16 dan 40.
“Allianz Kasih4All, ialah sebuah produk insurans hayat baharu yang merangkumi intipati Insurans Rahmah.
“Kami percaya semua rakyat Malaysia, tanpa mengira tahap pendapatan, berhak hidup bermaruah dan mendapat perlindungan untuk waris mereka,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Insurans Rahmah Baharu, hari ini.