KUALA LUMPUR: Alliance Bank Malaysia Bhd mengumumkan program Bantuan Banjir untuk membantu meringankan beban kewangan pelanggan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam, berkata bantuan itu terdiri daripada pilihan moratorium pinjaman sehingga enam bulan, pengubahsuaian pembayaran balik pinjaman, di samping pengecualian fi dan caj untuk pelanggan dan perniagaan yang terjejas oleh situasi banjir di beberapa negeri.
“Kami memahami tekanan emosi dan kewangan terhadap keluarga dan perniagaan yang terjejas akibat banjir. Kami berharap Bantuan Banjir ini akan membantu mengurangkan kebimbangan kewangan mereka.
“Pelanggan yang terjejas boleh menghubungi kami untuk membincangkan pakej bantuan yang memenuhi keperluan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kam berkata, pihaknya juga membantu pekerjanya yang terjejas akibat banjir untuk membantu mereka melalui masa yang sukar ini.
“Bantuan Banjir menawarkan pelepasan bayaran ke atas semua pinjaman konvensional dan kemudahan pembiayaan Islam.
“Bank juga akan mengetepikan fi dan caj untuk perkhidmatan terpilih seperti penggantian kad debit, kad ATM, buku cek dan buku simpanan yang hilang atau rosak semasa banjir,” katanya.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bantuan bantuan banjir, pelanggan yang terjejas boleh menghubungi Pusat Perhubungan Bank di 03-5516 9988 atau pengurus perhubungan mereka secara terus.