comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Aliran dana asing catat paras tertinggi dalam tempoh 8 minggu

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pelabur asing terus menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia berjumlah RM550.9 juta minggu lepas, iaitu 2.3 kali lebih tinggi berbanding minggu sebelumnya dan aliran masuk bersih asing tertinggi sejak lapan minggu lepas, kata MIDF Research.

Menurutnya pelabur asing ialah pembeli bersih pada setiap hari minggu lepas, mencatatkan belian bersih harian melebihi RM100 juta, kecuali pada Khamis apabila menyederhana kepada RM48.7 juta selepas langkah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mengekalkan seketika kadar faedah tidak berubah.

Tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran masuh bersih tertinggi adalah utiliti (RM197 juta), pengangkutan dan logistik (RM110.1 juta) dan produk dan perkhidmatan pengguna (RM72.8 juta).

Sementara itu, MIDF Research berkata hanya tiga sektor mencatatkan aliran keluar bersih asing iaitu produk dan perkhidmatan perindustrian (-RM38.6 juta), penjagaan kesihatan (-RM37.5 juta) dan telekomunikasi dan media (-RM8.4 juta).

“Setakat ini, pelabur asing telah menjadi penjual bersih berjumlah RM1.92 bilion,” kata  MIDF Research dalam laporan aliran dana mingguannya.

Sementara itu, institusi tempatan mengekalkan langkah penjualan bersihnya minggu lepas sebanyak RM472.50 juta, iaitu tertinggi sejak setahun lepas bagi minggu berakhir 19 Ogos 2022 apabila menjual bersih sebanyak RM675.9 juta.

MIDF Research berkata institusi tempatan telah menjadi penjual bersih pada setiap hari dengan jualan bersih berterusan selama lapan hari.

Setakat ini, institusi tempatan telah menjadi pembeli bersih berjumlah RM2.68 bilion.

“Peruncit tempatan terus menjadi penjual bersih bagi tempoh 11 minggu berturut-turut selepas menjual bersih RM78.4  juta minggu lepas.

“Tiada trend jualan bersih dicatatkan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Mereka menjadi pembeli bersih sebanyak RM22.3 juta pada Khamis, namun sebagai penjual bersih untuk sepanjang minggu ini,” kata MIDF Research.

Sehingga kini, peruncit telah menjual bersih sebanyak RM765.7 juta.

Dari segi penyertaan, MIDF Research berkata terdapat penyusutan dalam purata jumlah dagangan harian dalam kalangan pelabur sebanyak 39.9 peratus minggu lepas, manakala peruncit tempatan dan institusi tempatan masing-masing mencatatkan kenaikan 16 peratus dan 14 peratus.

— BERNAMA

Loading...
Terkini