
BEIJING: Aktiviti pembuatan China semakin merosot pada akhir tahun berikutan langkah pembendungan COVID-19 selain permintaan lebih lemah yang memaksa pengeluar mengecilkan pengeluaran, lapor dpa-AFX.
Indeks Pengurus Pembelian pembuatan Caixin susut kepada 49.0 pada Disember berbanding 49.4 pada bulan sebelumnya, menurut tinjauan diterbitkan S&P Global pada Selasa.
Bacaan kekal di bawah paras neutral 50.0 untuk bulan kelima berturut-turut yang menunjukkan penguncupan apabila wabak COVID-19 melembapkan aktiviti pembuatan.
Keputusan tinjauan rasmi PMI yang diterbitkan pada hujung minggu juga menunjukkan sektor pembuatan dan perkhidmatan mencatat prestasi paling lemah sejak awal 2020 walaupun dasar sifar COVID-19 dilonggarkan secara mengejut pada Disember.
Perniagaan baharu terus merosot disebabkan permintaan yang agak lemah di tengah-tengah pandemik yang berterusan, kata S&P Global.
Permintaan asing juga menurun pada kadar lebih cepat berikutan keadaan ekonomi global yang lembap selain pandemik. Pengeluaran menurun pada kadar paling rendah dalam tempoh empat bulan.
Selaras dengan penurunan pesanan baharu, syarikat mengurangkan aktiviti pembelian mereka pada kadar lebih cepat.
Inventori barangan yang dibeli dan barangan siap juga terus merosot.
Kemerosotan turut berlaku dalam guna tenaga disebabkan keperluan pengeluaran yang lebih rendah dan kesukaran mendapatkan pekerja.
Harga input purata meningkat sedikit pada Disember dan firma terus menurunkan harga jualan mereka sebagai sebahagian usaha untuk meningkatkan daya saing.
Pengilang lebih optimistik terhdap prospek pengeluaran mereka apabila keadaan wabak bertambah baik dan keadaan pasaran bertambah kukuh.
“Secara keseluruhan, wabak itu terus menjejaskan ekonomi pada Disember,” kata Wang Zhe, ahli ekonomi kanan di Caixin Insight Group.
Jangkitan dijangka melonjak dalam jangka pendek yang akan mengganggu pengeluaran dan kehidupan seharian.
“Sekali lagi persoalan penting kini ialah usaha mengawal COVID secara berkesan selain pembangunan ekonomi dan sosial,” kata Zhe. – BERNAMA