comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Akaun 3 fleksibel KWSP dijangka dilaksana April 2024

Foto hiasan

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka akan melaksanakan Akaun 3 fleksibel pada April tahun hadapan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata perincian akan dibuat ketika KWSP mengumumkan agihan dividen pada Februari depan.

“Kita sedang meneliti dari sudut kaedah tertentu mengenai akaun ini yang tidak terlalu menjejaskan pendapatan pencarum. Peratusan tertentu Akaun 3 akan ditetapkan dan boleh dikeluarkan pada waktu kecemasan yang akan diperincikan akan datang,” katanya kepada media selepas merasmikan Seminar ASEAN Social Security Association (ASSA) ke 40 hari ini.

Buat masa ini organisasi berkaitan boleh memberikan pandangan mereka mengenai akaun fleksibel itu dan mereka juga boleh menulis kepada Kementerian Kewangan dan KWSP.

Belanjawan 2024 lalu mengumumkan satu lagi akaun KWSP yang dikenali sebagai ‘Akaun 3’ atau ‘Akaun Fleksibel’ akan diwujudkan, membolehkan ahli mengakses pada bila-bila masa. Ini selari dengan situasi penuaan dan landskap kerja yang berkembang ke arah tidak formal di Malaysia.

Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata negara ASEAN menghadapi isu kritikal berkaitan kerentanan pekerja tidak formal di seluruh rantau ini.

“Sekitar 244 juta pekerja di rantau ASEAN memperoleh pendapatan mereka daripada pekerjaan tidak formal, merangkumi 79 peratus daripada populasi bekerja di rantau ini. Ia melepasi purata global sebanyak 61 peratus dan purata Asia Pasifik sebanyak 68 peratus,” katanya.

Untuk itu, KWSP sentiasa mengkaji semula skim mereka untuk memastikan ahli boleh memenuhi keperluan hidup tanpa menjejaskan simpanan mereka bagi persaraan kelak.

Loading...
Terkini