Tumpuan :
Detik Niaga

AirAsia X sambung semula penerbangan terus ke Jeddah

AirAsia X menawarkan kembara mampu milik untuk tetamu mengerjakan ibadah haji dan umrah – Foto ihsan AirAsia

SEPANG: AirAsia X (AAX) memperkenalkan kembali penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Jeddah, Arab Saudi.

Penerbangan sulung AAX bermula hari ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia 2) dengan kapasiti penumpang lebih 80 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail, berkata ini sekali gus menandakan penyambungan semula perkhidmatan AAX ke rantau Asia Barat.

Beliau berkata, ia turut menyaksikan permulaan gabungan usaha sama AAX dengan IKHLAS (platform kembara dan gaya hidup mesra Muslim Capital A) bagi menawarkan pakej ‘Umrah bersama IKHLAS’ dengan harga yang berpatutan.

“Kami amat gembira dapat kembali ke Jeddah, gerbang utama ke kota suci Makkah dan Madinah.  Dengan enam penerbangan seminggu, perkhidmatan kami diteruskan dengan tawaran kembara mampu milik untuk tetamu di Malaysia dan rantau Asia untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah.

“Kami yakin laluan ini akan kekal mampan berikutan aliran trafik yang tinggi antara Malaysia dan Arab Saudi, serta permintaan yang sentiasa meningkat untuk perkhidmatan umrah bukan sahaja dari Malaysia malah Indonesia, menjadikan Kuala Lumpur hab umrah penting di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Benyamin berkata, jemaah dari negara lain juga berpeluang ke Jeddah menerusi AAX sementara pengunjung dari Arab Saudi boleh dihubungkan ke 130 destinasi AirAsia melalui Kuala Lumpur.

Beliau berkata, kumpulan juga gembira dapat berganding bahu dengan IKHLAS bukan hanya untuk menawarkan pakej umrah yang berpatutan dengan AAX, malah menyediakan pilihan kembara dan umrah secara kendiri tidak lama lagi.

Katanya, AAX percaya peluang ini boleh dimanfaatkan untuk memperluaskan lagi kekerapan dan jaringan penerbangannya di masa depan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini